Georgetown: Seorang pekerja penyelenggara penyaman udara masih tidak serik apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan jenayah ragut meskipun masih dalam proses perbicaraan kes curi tahun lalu.
A Thines, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri beg tangan mengandungi barangan berharga antaranya wang tunai RM1,000, telefon pintar, pasport dan kad kredit milik Novita Badjo.
Berikutan kesalahan tersebut, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan ketakutan dan kecederaan terhadap mangsa dalam kejadian yang dilapor berlaku di tepi jalan Kuala Kangsar, Daerah Timur Laut di sini, kira-kira jam 4.50 petang, 17 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 392 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia semasa prosiding memohon jaminan yang tinggi berikutan tertuduh sedang menjalani perbicaraan membabitkan satu lagi kes curi di Mahkamah Balik Pulau.
Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya berkata, dia adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga selain isterinya kini sedang sarat hamil anak sulung mereka serta perlu menanggung ibunya dengan pendapatan RM1,600 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 28 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.