
Abang Johari ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran JKWW8 yang berlangsung di Hikmah Exchange, semalam.
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyokong penuh inisiatif Jawatankuasa Pengurusan Wakil Waris 8 Batu (JKWW8) dalam memulihara dan mengangkat kembali kegemilangan Rumah Batu (RB) Datu Bandar Abang Muhammad Kassim Datu Bandar Abang Bolhassan (DBAK), yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, RB yang terletak di Jalan Ajibah Abol itu wajar diiktiraf sebagai ‘Rumah Warisan’ bagi memastikan ia terus terpelihara serta dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
"Kerajaan Sarawak bersedia memberikan sokongan dari segi teknikal dan kewangan demi merealisasikan hasrat tersebut, selaras dengan komitmen berterusan untuk melestarikan warisan budaya serta sejarah wilayah ini berasaskan hukum syarak dan undang-undang yang sah.
"RB ini bukan rumah biasa kerana ia mempunyai sejarah tersendiri. Ramai yang tidak mengetahui bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) pernah bersidang di situ. "Fakta ini sudah cukup menjadi asas kukuh untuk kita memberikan pengiktirafan rasmi sebagai Rumah Warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran JKWW8 yang berlangsung di Hikmah Exchange di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta dif-dif kenamaan yang lain.
Dalam ucapan sama, Abang Johari menambah, isu wakaf yang berkaitan dengan status tanah dan bangunan perlu diselesaikan terlebih dahulu dengan merujuk kepada ordinan terbaru Majlis Islam Sarawak (MIS) sebelum sebarang pengiktirafan rasmi dapat dilakukan.
Selain itu, beliau turut memuji komitmen dan kesepakatan lapan orang waris DBAK dalam usaha membangunkan semula RB serta mengiktiraf latar belakang profesional mereka yang mampu merancang proses pemuliharaan secara sistematik.
“Saya serahkan kepada kamu semua untuk menguruskan RB. Saya akan bantu setakat yang saya mampu untuk kita sama-sama kembalikan kegemilangan bangunan bersejarah itu,” tambahnya.
Sebagai tanda sokongan, kelapan-lapan waris tersebut telah menerima peruntukan daripada Tabung Rumah Batu, yang akan digunakan bagi merancang dan melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan serta aktiviti berkaitan pewarisan sejarah dan budaya kediaman tersebut.
RB merupakan rumah Melayu pertama dan terbesar yang dibina pada 1863, menggunakan batu bata dan konkrit, berbeza dengan rumah-rumah kayu tradisional ketika itu.
Manakala JKWW8 adalah wakil-wakil yang dilantik mewakili waris 8 untuk mengurus atau mentadbir wakaf RB DBAK dan dilantik melalui mesyuarat agung yang diadakan setiap dua tahun sekali.
|