
Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri UKAS Bersama Agensi Kerajaan di Sarikei, semalam berlangsung dengan penuh meriah.
SARIKEI: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sentiasa menyokong penuh aspirasi dan hala tuju pembangunan yang dibawa oleh Premier Sarawak.
Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah berkata, UKAS juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar dan pencapaian kerajaan negeri kepada rakyat.
"Melalui pelbagai platform termasuk media digital, cetakan dan siaran langsung, kita memastikan rakyat mendapat akses kepada maklumat yang tepat, telus dan membina keyakinan terhadap pentadbiran negeri.
"Sebagai agensi penyelaras komunikasi strategik kerajaan, UKAS sentiasa komited menyokong penuh segala dasar dan inisiatif yang digariskan oleh Premier Sarawak, khususnya melalui kerangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
"Penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat amat penting dan UKAS komited dalam memainkan peranan ini melalui pelbagai saluran komunikasi rasmi dan media digital," kata Takun.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengarah UKAS pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri UKAS Bersama Agensi Kerajaan di Sarikei, semalam.
Menurut Takun, melalui kerjasama erat antara UKAS dan agensi-agensi kerajaan, pelaksanaan projek-projek di bawah dasar seperti PCDS 2030 dapat dijayakan dengan lebih berkesan.
Tambahnya, ini juga termasuk projek seperti Lebuh Raya Pan Borneo, pembangunan sistem pengangkutan moden dan capaian Internet luar bandar yang membuka peluang ekonomi kepada rakyat Sarawak.
"Melalui kerjasama erat antara UKAS dan agensi-agensi kerajaan, pelaksanaan projek-projek di bawah dasar seperti PCDS 2030 dapat dijayakan dengan lebih berkesan," katanya.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong, Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Arrahman Chik dan Pegawai Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Sarikei Darlin Nani George.
|