Edited by Vellfire at 18-4-2025 07:16 AM

Keadaan air sungai yang deras dan dalam di tempat kejadian pagi ini. - Gambar JBPM SarawakMIRI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Sengayan, Ulu Baram yang memasuki hari ketiga hari ini menghadapi kesukaran apabila pasukan penyelamat terpaksa berdepan cabaran arus sungai yang deras akibat hujan lebat malam tadi.
Selain itu, mereka turut mengalami kekangan komunikasi berikutan tiada liputan telefon, Internet dan rangkaian Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi hari ini yang bermula seawal jam 8 pagi dimulakan dengan taklimat bersama agensi-agensi terlibat, penghulu dan ketua kampung Long Jekitan di rumah Penghulu Daud Souk, Long Jekitan.
Manakala operasi diterajui pasukan bomba dengan kekuatan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi yang diketuai Nasir Razali selaku Komander Operasi.
Dalam pada itu katanya, operasi SAR hari kedua semalam yang bermula jam 9 pagi telah menggunakan dua kaedah iaitu kaedah jalan darat dengan menyusuri tebing sungai dari lokasi kejadian ke arah muara sungai yang sejauh lima kilometer (km).
Manakala kaedah laluan sungai pula bermula dari muara sungai ke arah lokasi kejadian dengan anggaran jarak yang sama.
Pasukan SAR menyediakan enam bot panjang untuk operasi mencari dan menyelamat di bahagian sungai semalam. - Gambar JBPM Sarawak" Radius pencarian mangsa diperluaskan sehingga 10 km dari tempat kejadian dan operasi di sungai digerakkan menggunakan enam buah bot panjang.
"Sepanjang operasi dijalankan, mangsa masih belum ditemui," katanya dalam satu kenyataan.
Operasi hari kedua pada Rabu yang turut dibantu pelbagai pihak seperti polis, Rela, kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Baram serta penduduk kampung telah ditangguhkan jam 6 petang berikutan keadaan cuaca yang gelap.
Insiden yang berlaku sekitar jam 10 malam Ahad di Sungai Sengayan, Ulu Baram telah mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan, Valerrie Mentie Dawellies, 9, di mana jasadnya ditemui pada jam 2.20 petang, pada Isnin di kawasan sekitar 2 km dari tempat kejadian.
Manakala bapanya, Dawellies Luing, 46, dilaporkan masih belum ditemui sehingga pagi ini.
Dalam kejadian itu, Dawellies bersama isteri dan anaknya, Valerrie serta seorang pemandu yang merupakan seorang penduduk kampung cuba menyeberangi Sungai Sengayan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, apabila kenderaan mereka dihanyutkan arus deras.
Isteri Dawellies, Litun Ajip dan pemandu terbabit berjaya menyelamatkan diri.
|