
Litun memegang erat salib tanda kubur anaknya ketika upacara pengebumian di Long Tikan, hari ini.
MIRI: Jasad Valerrie Mentie Dawellies, 9, yang lemas dalam tragedi kenderaan pacuan empat roda (4WD) dihanyutkan arus deras di Sungai Sengayan, Ulu Baram malam Ahad telah dikebumikan di kampung halamannya di Long Tikan sekitar jam 1 tengah hari tadi.
Suasana pilu menyelubungi sekitar perkuburan apabila ahli keluarga khususnya ibunya tidak dapat menahan sebak dan masih sukar menerima kehilangan tersebut.
Menurut bapa saudara mangsa, Berawai Ajip, 31, adiknya Litun Ajip yang juga ibu kepada Valerrie, masih trauma dengan kejadian yang meragut nyawa anaknya itu manakala suaminya Dawellies masih belum ditemui.
Katanya, menceritakan kembali kejadian itu Litun memberitahu bahawa dia, suaminya, Valerrie dan pemandu mereka ketika itu cuba menyeberangi Sungai Sengayan menggunakan kenderaan 4WD apabila kenderaan mereka dihanyutkan arus deras.
"Adik saya berada di tempat duduk penumpang hadapan berhampiran tingkap dan cuba sedaya upaya menarik keluar suami dan anaknya ketika kenderaan mereka dihanyutkan.
"Namun usahanya gagal disebabkan keadaan sekeliling yang gelap gelita ditambah arus sungai yang sangat deras ketika itu," katanya.
BERAWAI
Tambahan menurut Berawai, kedua-dua mangsa tidak pandai berenang.
"Semuanya berlaku begitu pantas dan adik saya hanya terselamat selepas berjaya berpaut pada batu-batuan dalam keadaan yang begitu gelap.
"Dia hanya mengalami calar ringan di kaki akibat merangkak naik ke tebing sungai," jelasnya.
Difahamkan keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke SK Long Jekitan, tempat Dawellies bertugas selepas menghadiri kursus di Miri.
Ekoran tragedi itu, Berawai merayu agar kerajaan segera membina jambatan baharu yang lebih selamat dan kukuh merentasi Sungai Sengayan yang disifatkannya sebagai nadi penghubung utama penduduk setempat.
"Kami memerlukan sebuah jambatan yang kukuh dan dapat bertahan lama bagi menggantikan jambatan lama sedia ada," katanya.
Lima kampung, dua sekolah rendah dan sebuah klinik kesihatan kerajaan terpaksa melalui laluan berisiko merentasi Sungai Sengayan.
Kampung-kampung tersebut adalah Long Makabar, Long Jekitan, Ba’ Purau, Long B dan Long Tikan manakala dua sekolah rendah berkenaan adalah SK Long Makabar dan SK Long Jekitan.
Manakala Klinik Kesihatan Long Jekitan merupakan satu-satunya klinik kerajaan yang paling dekat untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk dari lima perkampungan tersebut.
|