
Annuar mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memasuki DUN Sabah yang berlangsung bermula 10 April HINGGA 17 April ini.
KOTA KINABALU: Kementerian berkaitan diminta menjelaskan status projek pembinaan jambatan Sungai Liawan di Kampung Semalang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub berkata, jambatan itu penting kerana merupakan laluan alternatif yang mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar Keningau.
"Saya difahamkan bahawa kerja-kerja pembinaan jambatan itu sepatutnya siap pada bulan Mei, namun, maklumat terkini yang saya terima menyatakan bahawa ia hanya dijangka siap pada bulan Ogos.
"Oleh itu, saya mohon penjelasan berhubung punca kelewatan itu. Selain itu, saya juga ingin mendapatkan maklum balas berkenaan status cadangan projek pembinaan 'relief road' di Keningau, yang turut dijangka dapat membantu mengatasi isu kesesakan lalu lintas di kawasan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, har inu.
Beliau menegaskan kelewatan dalam penyempurnaan projek ini bukan sahaja membebankan rakyat, malah turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.
"Saya berharap pihak kementerian dapat memberikan jaminan serta penjelasan mengenai status semasa projek ini, termasuk langkah-langkah yang diambil bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
"Sebagai tambahan, saya memohon agar Jalan Tarapa dinaik taraf menjadi jalan berturap memandangkan potensinya sebagai laluan alternatif yang mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Keningau," katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar Jalan Gaulan, Jalan Batu 27 dan Jalan Sigapon turut diberi perhatian untuk diturapkan demi keselesaan dan keselamatan para pengguna.
Selain itu, beliau turut menggesa agar jalan-jalan di kawasan bandar dilebarkan bagi menampung peningkatan aliran trafik yang semakin ketara.
"Isu ini memerlukan penyelesaian jangka pendek yang segera bagi mengurangkan kesesakan yang sedang dihadapi, kerana ia berkait rapat dengan kualiti hidup masyarakat setempat.
"Perancangan jangka panjang yang lebih sistematik juga perlu dirangka, termasuk menaik taraf jalan sedia ada serta pembinaan jalan alternatif yang lebih efisien. "Saya berharap pihak berwajib dapat mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menangani isu ini secara menyeluruh," katanya.
|