Seberang Perai: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran Sungai Juru di Seberang Perai Tengah (SPT) yang semakin serius ketika ini.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan CAP mendapati kejadian berpunca daripada rumpai hanyut dan sisa buangan plastik dari Sungai Rambai dibawa arus ke Sungai Juru dan laut berhampiran menyebabkan nelayan dan penternak kerang di Kampung Kuala Juru terjejas.
"Jika tindakan segera tidak diambil, nelayan dan penternak kerang di kampung berkenaan akan terjejas sumber pendapatan mereka dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang.
"CAP meminta kerajaan negeri, MBSP, JAS dan JPS turun padang melihat secara dekat kejadian ini dan mengambil tindakan tegas terhadap punca berlakunya masalah itu," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohideen berkata, tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil ke atas pihak yang dikenal pasti menjadi punca kejadian itu.
"JAS dan MBSP perlu membuat pemantauan secara berterusan supaya masalah ini tidak berulang.
"CAP juga berharap pihak kerajaan menyalurkan bantuan atau pampasan kepada nelayan dan penternak kerang yang mengalami kemerosotan hasil pendapatan akibat masalah ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Kampung Kuala Juru, Wahid Othman, 57, berkata, masalah yang berlarutan sejak lima tahun lalu itu sudah dimaklum kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan berkesan diambil.
"Selain pukat nelayan rosak dirempuh rumpai hanyut dan sampah sarap, pembesaran kerang yang diternak juga terbantut dan menjejaskan sumber pendapatan penternak yang terbabit," katanya di sini.
Penternak kerang, Helmi Ibrahim, 45, pula berkata, jika pencemaran rumpai hanyut dan sampah sarap masih berlaku dan tidak ditangani segera, kemungkinan lebih besar kerugian dialami.
"Kami bimbang kerang yang diternak boleh mati jika rumpai dan sisa plastik mendap di kawasan ternakan kerang," katanya.