Edited by Vellfire at 9-4-2025 11:12 AM

Kedua-dua tertuduh (depan) dibawa menaiki kenderaan polis untuk didakwa di Mahkamah Majistret Miri pagi tadi.
MIRI: Dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, bulan lepas.
Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mengikut kesalahan ini, kedua-dua prebet tentera itu boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang dari 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun; dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh disebat tidak kurang dari 12 kali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Muhammad Muqriz.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama antara jam 2.15 pagi hingga 3.05 pagi, 24 Mac lalu di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sri Miri di sini.
Setelah jurubahasa mahkamah membacakan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang memakai pakaian sukan hanya mengangguk tanda faham.
Tiada pengakuan salah kedua-dua tertuduh direkodkan memandangkan kesalahan di bawah Seksyen 302 adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Di hadapan mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Franklin Ganggan Bennet memohon ditetapkan satu tarikh untuk sebutan lanjut kes sementara menunggu laporan bedah siasat si mati, laporan kimia dan arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan lanjut kes.
Manakala kedua-dua tertuduh yang tidak boleh dibebaskan dengan jaminan, diperintahkan supaya ditahan lanjut di bawah Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu tarikh tersebut.
Pendakwaan kes dilakukan di hadapan Majistret Ashok Linggam, manakala tertuduh kedua diwakili peguam bela Ranbir Singh dan tertuduh pertama tidak diwakili.
|