
Satu lagi kemalangan berlaku di Bulatan Kanowit hari ini, menjadikannya insiden kedua dalam tempoh kurang dua minggu.
SIBU: Satu lagi insiden kemalangan jalan raya berlaku di Bulatan Kanowit apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas lalu melanggar penghadang jalan dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.
Kemalangan tersebut merupakan kemalangan kedua yang berlaku di lokasi tersebut dalam tempoh kurang dua minggu, selepas insiden pada hujung bulan lalu yang meragut nyawa bekas Pengarah Mahkamah Negeri Sabah Marutin Pagan.
Dalam kejadian itu pemandu wanita berusia 33 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Kanowit.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan sekitar jam 1.21 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang wanita.
"Kenderaan tersebut sedang bergerak dari arah Kuching menuju ke Bintulu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai telah hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke sebelah kanan dan melanggar penghadang jalan di Bulatan Kanowit.
“Impak perlanggaran menyebabkan kenderaan tersebut terbalik,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pemandu yang mengalami kecederaan ringan itu mendapatkan rawatan di Hospital Kanowit di mana keadaannya dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai kemalangan jalan raya kendiri dan disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59,” ujarnya.
Sementara itu, bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, Satu Anchom turut menyuarakan kebimbangan terhadap reka bentuk bulatan tersebut yang disifatkannya sebagai punca utama kepada siri kemalangan yang berlaku di kawasan itu.
Dalam satu kenyataan, Satu berkata, reka bentuk bulatan tersebut menjadikan kawasan itu sebagai titik buta yang mudah mengelirukan pemandu terutama mereka yang tidak biasa menggunakan laluan berkenaan.
“Banyak kemalangan berlaku apabila kenderaan dari arah Julau yang menuju ke Sibu gagal mengesan kewujudan bulatan, lalu melanggar bahagian tengah. “Ini berlaku kerana pandangan pemandu terhalang dan mereka tidak menjangka adanya bulatan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar bulatan tersebut digantikan dengan sistem lampu isyarat yang lebih mudah dilihat dari jauh bagi memberi amaran awal kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan.
“Jika terdapat peruntukan, pembinaan jejambat atau laluan bertingkat merupakan penyelesaian jangka panjang terbaik demi keselamatan pengguna jalan raya,” tambahnya.
Satu turut menggesa pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri agar menjalankan kajian menyeluruh terhadap struktur serta tahap keselamatan di kawasan tersebut, serta mengambil tindakan segera sebelum lebih banyak nyawa terkorban.
|