Edited by Vellfire at 7-4-2025 03:57 PM

Dr Annuar ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis RamahTamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu, malam Jumaat.
SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee telah mencadangkan tiga projek untuk memperhebatkan lagi pembangunan di Sibu.
Projek-projek tersebut adalah berkenaan dengan perumahan, pendidikan dan jambatan.
“Perumahan merupakan suatu yang sangat penting untuk masyarakat.
“Saya ingin menyatakan di sini bahawa Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan peringkat awal untuk merangka suatu kawasan di Teku yang dinamakan perumahan untuk pasangan muda, iaitu untuk pasangan yang baru berkahwin.
“Dan saya mohon kepada Yang Amat Berhormat (Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) supaya projek ini akan dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu Bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, malam Jumaat.
(Dari kiri) Dr Annuar, Abang Johari, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah semasa hadir pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu malam Jumaat. – Gambar UKAS
Dr Annuar berkata, masyarakat Sibu juga inginkan sebuah sekolah menengah baharu diwujudkan.
“Begitu juga, kita ingin melihat ada sebuah sekolah baharu diwujudkan selaras dengan kewujudan Sekolah Kerajaan (SK) Abang Ali di kawasan Kampung Hilir dan Kampung Datu.
“Sekolah ini sangat bersejarah dan berusia lebih 150 tahun.
“Tetapi, apa yang diidamkan ialah sebuah sekolah baharu, sebab sekolah ini yang mempunyai sejarah begitu lama memerlukan turut diwujudkan Sekolah Menengah Abang Ali di bandar Sibu ini," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.
Menurutnya, ini akan dapat memastikan kesinambungan murid-murid dari SK Abang Ali terus melanjutkan pelajaran di sekolah menengah tersebut.
“Itulah yang kami inginkan di bandar Sibu ini, supaya adanya sekolah tersebut sekurang-kurangnya dapat memberi impak yang tinggi kepada pelajar-pelajar apabila pembangunan semula berlaku di Kampung Datu lama,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Dr Annuar turut memohon agar jambatan ikonik di Sibu yang dicadangkan sebelum ini dibina berdasarkan rekaan Jambatan London.
Beliau berpendapat jika projek jambatan itu dapat dibangunkan bersama projek pembangunan semula Kampung Datu lama, maka kampung tersebut akan menjadi sebuah kawasan yang menarik serta dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
Bagi merealisasikan projek-projek itu, Dr Annuar menggesa rakyat Sibu agar terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Abang Johari.
“Sebab itu, saya berani pada malam ini mengatakan bahawa masyarakat Sibu akan terus bersama-sama dengan Yang Amat Berhormat (Abang Johari) untuk memastikan segala pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat kita di bandar Sibu ini.
“Sememangnya, menjadi harapan kita agar Sibu membangun seperti bandar-bandar lain di negeri ini.
“Dan saya percaya Kerajaan Sarawak tahu apa yang patut dilakukan di bandar Sibu ini dengan satu syarat sahaja, iaitu kita harus terus memberi sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Abang Johari," tambahnya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta tetamu kehormat lain.
|