JKR dalam peringkat akhir tentukan tapak pembinaan jambatan hubungkan Tebing Barat Sibu dengan bandar Sibu

Dr Annuar (dua kanan) mengiringi Abang Johari (kanan) yang bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada majlis rumah terbukanya di Sibu, hari ini.
SIBU: Jambatan ikonik Sibu yang akan menghubungkan kawasan Tebing Barat Sibu dengan bandar ini akan tetap dibina.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dalam peringkat akhir menentukan tapak pembinaannya.
"Saya tidak sempat berbincang (mengikuti mesyuarat jawatankuasa pasukan petugas khas pembinaan jambatan) tapi setakat ini ada cadangan mengenai tapak sebab kita perlu tahu, membina jambatan ini memerlukan ruang pendaratannya yang paling penting.
"Sebab kita melihat JKR telah mencadangkan beberapa tempat dan sekarang di peringkat akhir untuk dimuktamadkan tapak jambatan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Jalan Kangkong di sini, hari ini.
Menurutnya, tapak adalah sangat penting untuk menentukan di mana jambatan ini boleh dibina.
Jelasnya lagi, tapak yang dicadangkan sebelum ini tidak sesuai disebabkan memerlukan ruang pendaratan yang panjang.
"Jadi... aspek itu yang perlu kita perhatikan dulu. Tapi jambatan ini akan tetap dibina," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.
Semasa sambutan Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Sibu pada 17 Februari lalu, Abang Johari telah setuju dengan pembinaan jambatan itu yang disuarakan oleh Ketua Pemuda SUPP Kelvin Lau.
Justeru, Abang Johari turut menggesa agar pelan terperinci pembinaannya dilaksanakan termasuk mengambil kira impak pembinaan jambatan itu bagi menerokai aktiviti ekonomi yang boleh dibangunkan di kawasan berkenaan seperti tanaman getah atau padi.
Sebuah jawatankuasa pasukan petugas khas pembinaan jambatan itu diketuai Dr Annuar dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, disyorkan oleh Abang Johari bagi melaksanakan pembinaannya.
|