Penduduk beraya tanpa bekalan air
Oleh Noorazura Abdul Rahman - April 4, 2025 @ 4:26pm bhnews@bh.com.my

Penduduk Taman Selat di Kuala Kedah menunjukkan tangki air yang dibeli untuk menyimpan bekalan air. - Foto NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
ALOR SETAR: Lebih 150 penduduk Taman Selat di Kuala Kedah di sini terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa bekalan air sejak lapan hari lalu.
Penduduk di taman itu mendakwa keadaan itu sudah berlarutan sejak 11 tahun lalu dan ia semakin meruncing setiap kali musim perayaan.
Penduduk, Umar Hafifi MohdMuhsin, 46, berkata sambutan Aidilfitri kali ini sangat suram kerana sukar mendapat bekalan air.
"Sejak 11 tahun inilah masalah yang kami hadapi, namun hari raya tahun ini adalah yang terburuk, sudah lapan hari tidak ada air, aduan sudah dibuat kepada SADA (Syarikat Air Darul Aman) sejak beberapa hari lalu dan semalam baru mereka hantar air, itu pun bukan semua penduduk dapat air.
"Macam mana nak beraya dan masak kalau tidak ada air sedangkan cuci pakaianpun terpaksa pergi dobi. Air minum kena beli air mineral. Memang tidak beraya kami tahun ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Selat, di Kuala Kedah hari ini.
Umar Hafifi yang merupakan peniaga berkata penduduk di taman itu terpaksa berbelanja sehingga RM1,000 untuk membeli tangki besar di luar rumah bagi menampung kegunaan mereka setiap hari.
"Air di sini memang kena catu. Kami terpaksa berjaga malam untuk tunggu air, kadang-kadang jam dua tiga pagi baru ada lepas itu tak ada lagi. Hari raya ini tidak ada langsung.
"Kami tidak kisah kalau nak catu tetapi sebolehnya beri jadual supaya kami boleh bersedia awal-awal dan tidak perlulah kami berjaga sehingga pagi nak tunggu air," katanya.
Seorang lagi penduduk, Malini Rosman, 47, berkata mereka sekeluarga terpaksa menggunakan masjid dan stesen minyak berdekatan untuk urusan seharian termasuk mandi.
Malah katanya, mereka sekeluarga tidak dapat menerima tetamu yang mahu datang beraya.
"Anak-anak saya suruh mereka mandi di masjid atau stesen minyak, nak masak memang susah lah... memanglah tertekan sebab orang lain beraya kami tidak boleh buat apa.
"Saudara mara nak datang beraya pun kami cakap jangan datang sebab tidak ada air. Macam mana nak sediakan makanan dan minuman untuk mereka. Sudah 11 tahun kami berdepan dengan masalah ini. SADA pun baru hantar air semalam setelah lama kami buat aduan tapi tidak cukup," katanya.
Siti Rosnani Ahmad Tajuddin, 45, berkata, mereka sekeluarga terpaksa berbelanja RM50 sehari untuk mencuci pakaian di dobi dan membeli air minuman.
"Air minuman pun terpaksa kami catu sebab nak jimat belanja. Kehidupan kami di sini memang tertekan sebab masalah air ini. Itu belum termasuk terpaksa berjaga sehingga awal pagi sebab nak tunggu air.
"Pam air pun sudah banyak kali kena tukar sebab rosak. Nak pindah ke rumah lain tentulah susah kerana ini rumah kami beli, kalau nak sewa atau jual pun memang tak laku. Sekarang pun ada pemilik yang nak jual sejak lima tahun lalu tapi sampai sekarang tidak ada orang nak beli," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/04/1380370/penduduk-beraya-tanpa-bekalan-air
|