Diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansariy bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada Syawal adalah seperti puasa setahun penuh." ( Hadis Riwayat Muslim)
Ramadan sudah pun melabuhkan tirainya. Masih terbayang di mata kemeriahan ibadah sepanjang Ramadan. Masjid dan surau dipenuhi dengan jamaah yang beriktikaf, mengerjakan solat secara berjemaah, bertadarus dan sebagainya. Syawal pula disambut dengan laungan takbir yang bergema di seluruh pelosok negara tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu di sepanjang Ramadan. Namun, suatu persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh manakah komitmen untuk beristiqamah dan meneruskan kesinambungan ketaatan pada Allah pada bulan yang datang selepas Ramadan?
Sudah menjadi adat dan kebiasaan dalam masyarakat kita untuk berlumba-lumba menunaikan ibadah pada Ramadan, tetapi apabila berlalunya Ramadan, segala amal ibadah yang dilakukan terus ditinggalkan begitu sahaja. Amalan yang dilakukan itu seumpama pepatah yang menyatakan 'macam hangat-hangat tahi ayam'. Kalau dahulunya masjid dan surau dipenuhi oleh para jemaah, kini ia kembali lengang. Kalau pada bulan Ramadan, boleh dikatakan setiap hari kita membaca al-Quran, namun kini al-Quran tersimpan rapi di dalam almari.
Sepanjang Ramadan, masyarakat kita berlumba-lumba untuk bersedekah, namun apabila berlalunya bulan tersebut ramai yang kembali menjadi bakhil. Kalau dalam Ramadan, puasa dapat dilaksanakan selama sebulan, tapi apabila datangnya Syawal, puasa enam hari pun amat berat untuk dikerjakan, sedangkan semua maklum tentang ganjaran 'puasa enam' sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang puasa pada Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada Syawal (ganjarannya) adalah seperti puasa setahun penuh." (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Puasa enam hari dalam Syawal
Hadis di atas menunjukkan betapa beristiqamah dalam melakukan ibadah puasa menghasilkan ganjaran dan pahala yang banyak di sisi Allah. Justeru, apabila selesai menunaikan puasa pada Ramadan, tidak wajar terhenti amalan puasa setakat itu sahaja, bahkan amat digalakkan untuk meneruskan amalan puasa ketika Syawal sebagai suatu kesinambungan daripada puasa Ramadan.
Puasa enam hari dalam Syawal boleh dilakukan secara berturutan ataupun tidak. Hal ini kerana ungkapan hadis itu bersifat mutlak iaitu boleh memilih mana-mana enam hari dalam Syawal untuk melaksanakan puasa sunat. Namun begitu, bersegera dalam melaksanakan puasa enam adalah lebih utama. Begitu juga tidak diwajibkan untuk melaksanakan puasa enam dalam Syawal secara terus- menerus akan tetapi hal itu adalah lebih utama. Kata Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni Muhtaj, puasa enam elok dilaksanakan secara berturut-turut, tetapi sekiranya dilakukan secara berselang-seli juga tidak menjadi satu kesalahan.
Antara fadilat puasa enam ialah mereka yang melaksanakan puasa enam setelah berpuasa Ramadan, akan diberi ganjaran seperti berpuasa setahun sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: "Berpuasa pada Ramadan seolah-olah berpuasa selama 10 bulan dan puasa enam pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan."
Di dalam kitab Sabil al-Muhtadin pula, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Tambahan daripada itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah, alangkah baiknya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita pada Ramadan ini kita teruskan juga pada Syawal, walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana terpaksa atau kewajipan, tetapi melakukannya kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Semuanya bertujuan membersihkan diri dan menundukkan hawa nafsu.
Antara manfaat puasa enam hari pada Syawal juga adalah sebagai kesinambungan amalan yang dikerjakan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Rabbnya pada Ramadan tidak terputus dengan berlalunya bulan mulia ini.
Oleh kerana itu sebaik-baiknya orang yang memiliki hutang puasa Ramadan memulai membayarnya pada Syawal kerana hal itu mempercepat proses pembebasan dirinya daripada tanggungan hutangnya. Kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa Syawal, dengan demikian dia telah melakukan puasa Ramadan dan mengikutinya enam hari pada Syawal.
Namun begitu, dalam hal yang perlu diutamakan sama ada berpuasa qada terlebih dahulu atau berpuasa sunat enam hari dalam Syawal, boleh dirumuskan kepada tiga pandangan mengenainya, iaitu:
Pandangan Pertama: Qada dahulu, kemudian barulah kerjakan puasa sunat. Dalilnya ialah hadis: "Sesiapa yangg berpuasa Ramadan dan diikuti dengan enam hari dalam Syawal, maka akan mendapat pahala sepanjang tahun". Jadi, dalam hadis ni menyatakan kena selesaikan puasa Ramadan dahulu, kemudian dilengkapkan dengan puasa sunat Syawal. Oleh yang demikian, hendaklah diqada terlebih dahulu puasa Ramadan yang ditinggalkan, kemudian barulah sambung dengan puasa sunat.
Pandangan kedua: Laksanakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu, kemudian baru qada. Hal ini disebabkan puasa sunat Syawal waktunya terhad hanya dalam Syawal sahaja, manakala qada puasa boleh dibuat dalam jangka masa yang lebih panjang. Ia berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke Syaaban akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW," - (Sahih Muslim). Ulama yang mengemukakan pendapat ini berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, iaitu Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekalipun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.
Pandangan Ketiga: Hendaklah berniat puasa qada dan apabila puasa qada itu berbetulan dengan hari yang disunatkan, maka akan mendapat pahala puasa sunat sekali. Ijtihad dan pandangan ini dikemukakan oleh ulama fiqh seperti Syeikh Zakariyya al-Ansoriy, Syeikh Atiyyah Saqr dan kebanyakan ulama Syafi'yyah. Apabila amalan wajib dilakukan bertepatan dengan waktu yang disunatkan pahala sunat akan turut diperoleh. Contohnya apabila masuk ke dalam masjid dan didapati solat fardu sedang dikerjakan maka hendaklah terus menunaikan solat fardu berjemaah dan pahala sunat tahiyyatul masjid juga akan terhasil. Syeikh Zakariyya al-Ansoriy menyatakan apabila berpuasa qada dalam Syawal, pahala puasa enam akan turut diperoleh kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa pada Syawal. - Harian Metro
Penulis Mufti Pulau Pinang
|