Edited by sfhzuraz at 4-4-2025 01:51 AM
Hukum solat di rumah ibadat bukan Islam
MOHD ISKANDAR OTHMAN
03 April 2025 02:04pm

Laporan Sinar Harian mengenai seorang lelaki mengerjakan solat di rumah ibadat bukan Islam, baru-baru ini.
GEORGE TOWN – Hukum solat di rumah ibadat bukan Islam seperti gereja atau kuil bergantung kepada beberapa keadaan.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, solat dibolehkan di tempat tersebut jika tiada unsur syirik atau najis.
Beliau menjelaskan, menurut ulama, secara prinsipnya solat boleh dilakukan di mana-mana tempat yang bersih kecuali jika terdapat dalil melarangnya.
Namun, beliau menyatakan bahawa ulama ada membincangkan hukum solat di rumah ibadat bukan Islam seperti gereja atau kuil.
"Mazhab Hanafi dan Maliki menetapkan makruh solat di gereja atau kuil kerana ia adalah tempat ibadat bagi orang bukan Islam yang boleh mengandungi unsur kesyirikan.
"Manakala mazhab Syafi'i dan Hanbali pula membolehkan solat di dalamnya jika tempat tersebut bersih dan tidak terdapat patung atau lambang kesyirikan yang boleh mengganggu kekhusyukan solat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Beliau menegaskan, umat Islam dilarang melakukan solat sekiranya tempat itu mengandungi unsur syirik atau najis.
Tambahnya, jika tempat tersebut mempunyai banyak patung, simbol keagamaan atau digunakan untuk ritual syirik, maka solat di dalamnya adalah makruh atau haram kerana boleh menimbulkan fitnah serta tidak menjaga kesucian akidah.
"Jika terdapat najis, seperti sisa darah penyembahan, maka solat di situ tidak sah kerana salah satu syarat sah solat adalah tempat suci daripada najis.
"Ini menunjukkan tempat dikaitkan dengan amalan syirik tidak sesuai untuk solat, walaupun hukumannya tidak sampai kepada haram secara mutlak," katanya.
Mengulas mengenai kewajaran solat di rumah ibadat lain, Mohd Sukki berkata, jika berada dalam keadaan darurat atau terpaksa seperti bermusafir dan tidak menemui tempat lain sesuai untuk solat, maka solat di gereja atau kuil dibenarkan berdasarkan kaedah fiqh iaitu darurat mengharuskan perkara dilarang.
Namun, katanya, jika boleh solat di luar bangunan atau tempat lebih sesuai, maka itu lebih diutamakan.
Bagaimanapun, dalam keadaan biasa (tanpa keperluan mendesak), beliau berkata, jika seseorang sengaja memilih solat di gereja atau kuil sedangkan terdapat tempat lain lebih sesuai, maka perbuatan itu tidak wajar kerana boleh menimbulkan fitnah kepada masyarakat Islam.
"Ia boleh menyebabkan kekeliruan atau salah faham tentang akidah seseorang.
"Terdapat kemungkinan seseorang itu terpengaruh dengan suasana atau simbol keagamaan di tempat tersebut.
"Oleh itu, solat di gereja atau kuil tanpa keperluan bukanlah pilihan terbaik bagi seorang Muslim," katanya.
Mohd Sukki berkata, sebagai langkah terbaik, jika terpaksa solat di gereja atau kuil, pilihlah kawasan bebas daripada patung dan simbol keagamaan atau solat di luar bangunan jika keadaan mengizinkan.
Tegasnya, ini adalah untuk menjaga kemurnian akidah dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
https://www.sinarharian.com.my/article/720868/berita/semasa/hukum-solat-di-rumah-ibadat-bukan-islam
|