Edited by sfhzuraz at 4-4-2025 01:45 AM
CAP desak tubuh RCI siasat punca kebakaran paip gas Putra Heights
MOHD ISKANDAR OTHMAN
03 April 2025 02:58pm

Pertugas dari pelbagai agensi meninjau keadaan semasa lokasi kejadian kebakaran paip gas Jalan Putra Harmoni, ketika tinjauan foto Bernama Putra Heights hari ini. Foto kecil: Mohideen
GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, RCI diperlukan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran dan memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.
Menurutnya, pelbagai persoalan telah timbul berhubung kegagalan mekanisme keselamatan automatik saluran paip gas serta jarak saluran itu yang begitu hampir dengan kawasan kediaman.
"RCI dapat memastikan penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan bebas bagi menentukan sama ada kebakaran ini berpunca daripada kesilapan manusia, kecuaian, kegagalan peralatan, atau unsur sabotaj," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Mohideen berkata, suruhanjaya siasatan itu juga disaran menyiasat pematuhan protokol keselamatan oleh Petronas, pihak pengurusan stesen minyak, serta agensi berkaitan.
Beliau berkata, sekiranya didapati wujud kecuaian atau salah laku, RCI boleh mencadangkan tindakan undang-undang atau tatatertib terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"Selain itu, CAP menegaskan bahawa RCI perlu menilai keberkesanan peraturan keselamatan sedia ada bagi saluran paip dan stesen minyak.
"Jika terdapat kelemahan, langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan pembaharuan dasar perlu dicadangkan.
Memandangkan kebimbangan tinggi dalam kalangan masyarakat, penubuhan RCI akan memberi ketelusan dan memastikan kerajaan mengambil isu ini secara serius, sekali gus mengelakkan penyebaran maklumat palsu dan spekulasi liar," katanya lagi.
Beliau berkata, siasatan juga perlu menilai keberkesanan pasukan tindak balas kecemasan serta mencadangkan penambahbaikan, termasuk sistem pencegahan kebakaran yang lebih baik, latihan berkala untuk pekerja stesen minyak, dan mekanisme tindak balas pantas.
Kebakaran di Putra Heights itu telah menyebabkan kemusnahan besar, termasuk 78 rumah, 10 rumah kedai, dan 225 kenderaan dalam radius 290 meter.
Laporan awal juga mendapati terdapat premis perniagaan dua tingkat yang hanya terletak 30 meter dari lokasi kebakaran.
"Kami mahu siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana saluran paip gas yang membawa bahan mudah terbakar boleh diluluskan begitu hampir dengan kawasan penduduk tanpa zon penampan yang mencukupi," katanya lagi.
Beliau berpendapat siasatan oleh agensi seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sahaja tidak mencukupi.
Tegasnya, pihak berkuasa tempatan juga perlu dipertanggungjawabkan kerana terlibat dalam kelulusan zon dan perancangan guna tanah di kawasan berkenaan.
https://www.sinarharian.com.my/article/720879/berita/nasional/cap-desak-tubuh-rci-siasat-punca-kebakaran-paip-gas-putra-heights
|