
Abang Johari serta tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama sebahagian penerima MyLesen. -Gambar UKAS
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan pengguna jalan raya tidak menjadikan jalan raya berkembar dari Munggu Kopi, Serian melalui Gedong hingga Kota Samarahan litar lumba haram.
Beliau berkata pembinaan jalan berkembar (empat lorong) itu bertujuan meningkatkan aksesibiliti dan mempercepatkan pembangunan sosio ekonomi di koridor Serian-Gedong-Samarahan.
Beliau berkata projek itu akan mula dibangunkan tahun depan bermula dari Munggu Kopi Serian, menuju Gedong kemudian Kota Samarahan.
“Khas kepada para belia kita di sini. Jangan gunakan jalan raya (ini) untuk berlumba. Itu sahaja permintaan saya. Saya membina jalan raya adalah untuk kemudahan rakyat tetapi jangan gunakannya untuk berlumba.
“Jadi saya minta anak-anak ikutlah undang-undang dan jangan salah gunakan kemudahan yang dibuat oleh kerajaan . Apabila jalan raya ini, ada empat lorong memang selesa memandu dengan laju, oleh itu mesti ada disiplin ketika menggunakan kenderaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong, pada petang Rabu.
Majlis itu turut dihadiri dihadiri Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibolah, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili.
Selesai majlis itu Abang Johari menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa Daerah Gedong 2025 yang berlangsung di Masjid Al-Kawthar, Gedong.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu dimulakan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh wakil Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan, diikuti dengan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Pada majlis sama Abang Johari menyampaikan sumbangan berjumlah RM66,000 kepada 330 orang asnaf.
Sumbangan tersebut merangkumi RM5,000 sumbangan Agro Bank, RM20,000 daripada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Sarawak, manakala selebihnya daripada Pejabat Premier Sarawak.
Selain itu, 25 penerima lain, termasuk sembilan buah masjid dan 16 buah surau di Daerah Gedong, turut menerima sumbangan daripada Agro Bank, LCDA dan Pejabat Premier Sarawak.
|