CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 243|Reply: 0

Kenaikan gaji perlahan punca peningkatan kos sara hidup - Timbalan Gabenor BNM

[Copy link]
Post time 26-3-2025 06:56 PM | Show all posts |Read mode

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan gaji pekerja yang lebih perlahan daripada kenaikan harga barangan menjadi antara punca kepada peningkatan kos sara hidup di Malaysia.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar, berkata sejak 2019, gaji nominal untuk setiap pekerja hanya meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding kenaikan harga keseluruhan (9.3 peratus), manakala harga makanan naik sebanyak 17.4 peratus.

Katanya, walaupun kadar inflasi secara keseluruhan menunjukkan penurunan, kebimbangan mengenai kos sara hidup masih berterusan dan perbincangan mengenai kos sara hidup tidak seharusnya terhad kepada harga dan paras harga semata-mata, namun perlu mengambil kira pertumbuhan pendapatan.

"Meskipun kadar inflasi berjaya dikawal dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun paras harga masih kekal tinggi. B40 adalah golongan yang paling terkesan kerana membelanjakan 52 peratus daripada pendapatan mereka untuk keperluan asas berbanding M40 (37 peratus) dan T20 (32 peratus).

"Malah, kadar produktiviti setiap pekerja yang merekodkan kenaikan 11.2 peratus juga tidak selari dengan pertumbuhan nominal gaji pekerja yang lebih rendah. Sektor swasta juga perlu memainkan peranan dengan membayar gaji pekerja secara adil dan setimpal dengan produktiviti mereka.

"Oleh itu, adalah penting untuk mencari cara bagi meningkatkan pendapatan, sama ada melalui pelaburan yang dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji yang lebih tinggi atau melalui pelbagai langkah kerajaan seperti sistem gaji progresif dan gaji minimum," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbinccangan panel dan ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia bersempena dengan pelancaran Laporan Tahunan BNM 2024 di Kuala Lumpur, semalam.

Marzunisham berkata, secara keseluruhan, penyelesaian bagi isu kos sara hidup memerlukan gabungan pelbagai dasar.

"Selain kawalan inflasi, dasar fiskal seperti pengagihan semula pendapatan juga penting. Selain itu, pembaharuan struktur, termasuk dalam pasaran buruh perlu diteruskan bagi memastikan keseimbangan antara harga dan pendapatan pekerja," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, BNM menjangkakan jumlah pelaburan akan berkembang sebanyak 9.3 peratus tahun ini, selepas mencatat pertumbuhan 12 peratus tahun lalu.

Katanya, pelaburan swasta dijangka meningkat sekitar 10.1 peratus pada tahun 2025.

"Beberapa faktor akan menyokong pertumbuhan ini. Pertama, permintaan domestik dan luaran yang berterusan. Kedua, sentimen pelabur yang positif. Syarikat juga terus mempunyai akses kepada pembiayaan. Lebih penting lagi, kami mendapati bahawa semua projek yang telah diluluskan sedang dalam proses pelaksanaan.

"Jika dilihat pada tahun lalu, sebanyak RM378.5 bilion pelaburan diluluskan. Pada 2023, jumlah pelaburan yang diluluskan adalah RM329 bilion. Kadar pelaksanaan atau realisasi pelaburan ini adalah sangat tinggi, iaitu 84.5 peratus.

"Ini bermakna, 84.5 peratus daripada projek perkilangan yang diluluskan antara 2021 hingga 2024 sedang berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan yang mana perkembangan ini sangat menggalakkan," katanya.

Lebih menarik, Marzunisham berkata pelaburan masa kini dipacu oleh kedua-dua pelabur domestik dan pelaburan langsung asing (FDI).

"Sebanyak 55 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2024 adalah daripada pelabur domestik, manakala 45 peratus adalah FDI," katanya. - BH Online




This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-4-2025 12:53 AM GMT+8 , Processed in 0.087401 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list