CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 124|Reply: 0

[Kedah] FAMA jamin barangan keperluan sepanjang Aidilfitri mencukupi

[Copy link]
Post time 26-3-2025 03:39 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 26-3-2025 03:41 PM

FAMA jamin barangan keperluan sepanjang Aidilfitri mencukupi

ROSLINDA HASHIM
26 Mac 2025 01:55pm




Shaiful Azhar (lima dari kanan) melancarkan Jualan Agro MADANI Semarak Syawal peringkat negeri Kedah di Pasar Tani Taman Wira, Mergong pada Rabu.



ALOR SETAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang musim perayaan Aidilfitri dan dijual pada harga lebih murah serta berpatutan.

Pengarah FAMA Kedah, Shaiful Azhar Zolkipli berkata, langkah ini sejajar dengan komitmen kerajaan dalam merangka strategi khusus bagi membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.


Menurutnya, pelbagai usaha, galakan dan sokongan berterusan akan dilaksanakan dalam membantu golongan berpendapatan rendah, terutama kumpulan B40.

“Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, FAMA menganjurkan Jualan Agro MADANI Semarak Syawal bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan dalam menangani kesan kenaikan harga dan kos sara hidup.


“Program ini menawarkan potongan harga istimewa serta promosi khas bagi barangan terpilih dalam usaha meringankan beban perbelanjaan pengguna sepanjang persediaan menyambut Aidilfitri,” katanya selepas melancarkan program Jualan Agro MADANI Semarak Syawal peringkat negeri Kedah dan mengedarkan ketupat serta rendang kepada pengunjung di Pasar Tani Taman Wira, Mergong pada Rabu.



Shaiful Azhar (kanan) menyampaikan pek kombo MADANI bernilai RM10 kepada pembeli di Pasar Tani Taman Wira, Mergong.



Shaiful Azhar berkata, Jualan Agro MADANI mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran ramai penduduk setempat yang membeli barangan pada harga rendah.


“Antara keistimewaannya, jualan pek kombo MADANI bernilai RM10 setiap pek mengandungi 10 biji telur ayam, satu kilogram (kg) minyak masak, halia, bawang besar dan santan kelapa.


“Pengguna juga boleh mendapatkan ayam segar pada harga RM10 seekor, tembikai merah pada harga 90 sen sekilogram, pamelo RM6/kg, jagung manis RM1.20 sebatang, pitaya merah RM6/kg serta jambu batu RM6/kg,” katanya.


Menurutnya lagi, selain memberi manfaat kepada pengguna, program ini juga memberi peluang kepada peniaga dan usahawan menyertai Jualan Agro MADANI, terdiri daripada peserta Program Ladang Kontrak, Usahawan Bimbingan Kerajaan serta pengilang dan pemproses produk agromakanan.

“Peserta jualan dapat menikmati peningkatan pendapatan menerusi konsep jualan terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah,” ujarnya.

Shaiful Azhar memaklumkan bahawa program tersebut akan diteruskan di empat lokasi outlet pemasaran FAMA negeri Kedah pada 29 Mac, iaitu di Pasar Tani Kekal Changlun, Pasar Tani Kekal Guar Chempedak, Pasar Tani Souq Al-Bukhari di Alor Setar serta Pasar Tani Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.

“Perasmian program peringkat kebangsaan akan disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 29 Mac ini di Parlimen Kota Raja.

“FAMA sentiasa komited dan berusaha mengutamakan kesejahteraan rakyat meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam usaha memperkukuh sektor agromakanan serta keterjaminan makanan negara,” ujarnya.

https://www.sinarharian.com.my/article/719754/edisi/utara/fama-jamin-barangan-keperluan-sepanjang-aidilfitri-mencukupi


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-4-2025 12:55 AM GMT+8 , Processed in 0.179722 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list