Butterworth: Bekas calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Jermal pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan mempamerkan Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Datuk, empat tahun lalu.
Tertuduh, Ong Chuan Jin, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa mempamerkan gelaran Darjah Kebesaran Negeri Pahang di bahagian depan dan belakang kad nama sedangkan tiada sebarang darjah mahupun pingat yang dianugerahi kepadanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Jalan Raja Uda di Seberang Perai Utara, 1 tengah hari, Mei 2022.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) (d) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen No 18 Tahun 2017) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) enakmen sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 atau penjara tidak kurang daripada satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala tertuduh diwakili peguam, Ong Chin Wen.
Semasa prosiding, Muhammad Rifaie menawarkan jaminan RM30,000 terhadap tertuduh namun Chin Wei dalam rayuannya merayu supaya anak guamnya dikenakan jaminan minimum kerana tidak bekerja, sebaliknya hanya aktif dalam kerja-kerja kebajikan.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 29 April ini.