
KUCHING: Seorang lelaki berusia 49 tahun terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menggantikan hukuman tersebut dengan hukuman penjara 35 tahun kerana menembak seorang pembeli lada hitam pada 2016.
Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Datuk Abu Bakar Jais, dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera turut memerintahkan Chong Fook Fatt menerima 12 sebatan.
Hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 2 Ogos 2016.
Keputusan sebulat suara ketiga-tiga hakim itu susulan pindaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, di mana hukuman mati sepatutnya ditukar kepada penjara berdasarkan keadaan dan fakta kes.
Pindaan Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, juga boleh dihukum tidak kurang daripada 12 sebatan.
Kes dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Ng Siew Wee, manakala Chong diwakili peguam yang ditugaskan, Osman Ibrahim dan Fadzillah Osman.
Pada 20 Oktober 2022, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas Chong selepas dia didapati bersalah atas kesalahan itu.
Chong didakwa membunuh mangsa di ladang lada hitam di Kampung Jugan, Jalan Bau-Lundu pada 21 Jun 2016.
Menurut laporan sebelum ini, mangsa dari Balai Ringin dan rakannya menaiki lori dari arah Serian ke Kampung Jugan untuk membeli lada hitam.
Apabila sampai ke kampung dan memandu di sepanjang jalan ladang, rakan mangsa terdengar bunyi tembakan dan melihat mangsa yang memandu, tiba-tiba rebah.
Rakannya segera membawa mangsa ke Hospital Bau untuk rawatan, namun dia meninggal dunia akibat kecederaannya pada hari berikutnya.
|