
Sylvarius (kanan) mengiringi suspek (tengah) selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.
KUCHING: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita berusia 37 tahun yang ditemui mati di sebuah bilik sewa di Bandar Baru Batu Kawa (MJC), bulan lepas.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan hari ini membenarkan permohonan tahanan reman itu selepas mendengar permintaan pihak polis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Suspek yang ditahan petang Khamis akan ditahan reman dari 22 hingga 28 Mac ini.
Kes dikendalikan ASP Sylvarius Gopog dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai pembersih tapak binaan juga mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Berdasarkan laporan sebelum ini, Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, wanita itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah bilik sewa di MJC pada 6 Februari lepas.
“Pada mulanya kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, siasatan awal mendapati terdapat lilitan kain di leher mangsa, menunjukkan kemungkinan tercekik,” katanya.
|