Kastam serbu gudang, rampas bunga api, mercun hampir RM1 juta termasuk cukai
Oleh Nur Izzati Mohamad - Mac 25, 2025 @ 3:27pm bhnews@bh.com.my

Rohaizad menunjukkan antara 1,332 karton mercun dan bunga api pelbagai jenama tanpa permit dianggarkan bernilai RM360,767.50 pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM Bagan Jermal hari ini. NSTP/ DANIAL SAAD
BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan mercun dan bunga api tanpa permit selepas menyerbu sebuah gudang dekat Kawasan Perindustrian Nagasari, Perai, di sini, pada 11 dan 12 Mac lalu.
Serbuan dijalankan Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan negeri itu menemui tujuh kontena dalam gudang berkenaan, sebelum pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 1,332 karton mercun dan bunga api pelbagai jenama dianggarkan bernilai hampir RM1 juta termasuk cukai.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali, berkata siasatan mendapati semua mercun dan bunga api itu tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan ditetapkan dalam permit import (AP) yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Susulan itu, semua mercun dan bunga api bernilai RM360,767.50 dengan cukai RM599,189.63 disita untuk tindakan lanjut.
"Kita turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM negeri di Bagan Jermal, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai dijual sempena musim perayaan Aidilfitri dengan menjadikan gudang itu tempat menyimpan bekalan terbabit.
"Kita masih menyiasat peranan lelaki ditahan dalam serbuan itu untuk mengetahui kaitannya dengan sindiket ini.
"Mercun dan bunga api sebenarnya adalah barang larangan yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import mengikut Butiran 46, Bahagian 1, Jadual Ketiga Perintah Larangan (Larangan Mengenai Import 2023," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1376781/kastam-serbu-gudang-rampas-bunga-api-mercun-hampir-rm1-juta-termasuk
|