Edited by sfhzuraz at 25-3-2025 02:15 AM
'Noah perlukan RM108,125 demi dengar suara ibu bapa'
MOHD ISKANDAR OTHMAN
24 Mac 2025 03:23pm

Noah dikesan mengalami masalah pendengaran semasa dia berusia enam bulan.
BUKIT MERTAJAM - Seorang bayi lelaki berusia 11 bulan, Noah Mickael, memerlukan bantuan dana sebanyak RM108,125 daripada orang ramai bagi menjalani pembedahan implan koklea untuk memulihkan pendengarannya.
Noah, yang dilahirkan di George Town, dikesan mengalami masalah pendengaran ketika berusia enam bulan.
Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi itu perlu menjalani pembedahan tersebut pada sekitar usia setahun atas nasihat doktor.
Menurutnya, Noah kini berada dalam fasa penting untuk belajar bercakap, namun disebabkan masalah pendengaran, dia masih belum mampu menyebut ‘papa’ atau ‘mama’.
“Fasa pertumbuhan dan perkembangan anak kecil ini tidak boleh ditangguhkan. Jika peluang keemasan ini terlepas, ia boleh menjejaskan keupayaan bahasanya pada masa hadapan.
“Dia juga pernah memakai alat bantuan pendengaran, namun tidak menunjukkan kesan ketara selepas tiga bulan pemakaian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sui Hau berkata, Noah telah bersedia menjalani pembedahan itu selepas pemeriksaan MRI dan imbasan CT pada 19 Disember lalu menunjukkan struktur dalamannya normal.
Jelasnya, pakar audiologi mengesahkan Noah layak menjalani pembedahan implan koklea dan mencadangkan ia dilakukan pada usia setahun bagi memastikan perkembangan bahasanya tidak ketinggalan.
Tambahnya, sejak Disember lalu, Noah juga telah memulakan sesi terapi pertuturan.
Sementara itu, Sui Hau berkata, keluarga bayi itu berdepan kesukaran untuk membiayai kos pembedahan yang tinggi.
“Kosnya mencecah RM108,125 dan One Hope Charity & Welfare berbesar hati membantu mengumpul dana bagi Noah.
“Bapanya, Oswald Juin, 41, bekerja sebagai pegawai operasi di sebuah syarikat elektronik, manakala ibunya, Wallensia Meena Anak Peter, 25, seorang jururawat.
“Noah merupakan anak tunggal dan menjadi harapan pasangan yang berasal dari Malaysia Timur ini,” katanya.
Menurut Sui Hau, hari Isnin merupakan hari lahir Noah yang genap setahun dan pembedahannya telah dijadualkan esok, iaitu 25 Mac.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman sesawang www.onehopecharity.org.
https://www.sinarharian.com.my/article/719405/edisi/utara/noah-perlukan-rm108125-demi-dengar-suara-ibu-bapa
|