Georgetown: Pasangan suami isteri ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan erimin 5 bernilai RM160,884, menerusi serbuan yang dijalankan di Permatang Pauh, di sini.
Kedua-dua penganggur yang masing-masing berusia 35 dan 40 tahun itu ditahan di sebuah kediaman dalam operasi bermula Sabtu hingga semalam antara jam 9 malam hingga 4 pagi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat sebanyak 4.9 kilogram (kg) dan 100 biji pil erimin 5 seberat 28 gram.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak awal tahun ini bagi pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 250,000 orang.
"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek warga tempatan itu negatif daripada sebarang pengambilan dadah dan tiada rekod lampau.
"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Hamzah berkata, tindakan juga diambil mengikut akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana polis turut menyita masing-masing dua kereta dan motosikal, wang tunai dan jam tangan.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM377,984," katanya.