Pemilik premis jangan halang sistem semburan air automatik supaya dapat diguna ketika kecemasan
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 24, 2025 @ 5:06pmbhnews@bh.com.my

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang (tengah) melakukan pemeriksaan dengan menyembur air menggunakan hose reel di Kompleks Beli Belah Aman Central. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli.
ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengingatkan pemilik premis di negeri ini supaya tidak menghalang atau menggantung objek lain pada sistem semburan air automatik kerana ia boleh menyebabkan alat itu tidak dapat berfungsi dengan baik jika berlaku kebakaran.
Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, jika sekiranya alat itu mengalami kerosakan, ia akan menyukarkan proses pemadaman api pada peringkat awal kebakaran yang bertujuan untuk mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta.
Beliau berkata, dalam pemeriksaan yang dilakukan pihak bomba sebelum ini mendapati ada yang menggantung objek lain seperti perhiasan, lampu atau benang pada sistem semburan air automatik.
"Malah ada juga yang tutup alat itu terus namun kita nasihatkan supaya mereka jangan buat begitu kerana bimbang alat itu rosak kerana ia masih boleh berfungsi tetapi tidak secara menyeluruh.
"Selain itu, kita juga ingin memohon supaya semua pihak yang mengusahakan tempat penginapan seperti hotel, motel atau hotel bajet supaya memastikan tahap keselamatan di premis mereka berada dalam keadaan baik.
"Ini kerana, apabila musim perayaan ini hotel akan penuh kerana ramai orang balik, jadi mahu tahap keselamatan ditingkatkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media merasmikan Majlis Pelancaran Pemeriksaan Bangunan Bagi Tujuan Menghapuskan Bahaya Kebakaran dan Kempen Keselamatan Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Kedah.
Terdahulu, beliau turut mengedarkan risalah berkaitan bahaya kebakaran kepada pengunjung di kompleks beli belah itu, hari ini.
Dalam pada itu, Awang Hidzel berkata tujuan utama program itu diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kesiap siagaan masyarakat menjelang musim perayaan serta pihaknya akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas bangunan strategik bagi menghapuskan sebarang bahaya kebakaran.
Beliau berkata, pemeriksaan bangunan ini menumpukan kepada sistem pemasangan keselamatan kebakaran aktif dan pasif, peralatan pemadaman dan menentang kebakaran serta laluan kecemasan dan pintu keluar.
"Ianya adalah untuk memastikan keselamatan semua pihak dalam keadaan baik dan terjaga.
"Selain itu, sempena musim perayaan ini juga, saya ingin berpesan kepada orang ramai yang hendak meninggalkan rumah sebelum pulang ke kampung supaya mematikan semua suis utama peralatan elektrik, menutup injap gas dapur dengan sempurna dan memastikan laluan keluar dan masuk rumah tidak terhalang," katanya.
Dalam pada itu, Awang Hidzel berkata, sepanjang tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 958 panggilan kecemasan berhubung kebakaran sudah pun direkodkan yang mana bulan Mac ini menyumbang 523 panggilan dengan kenaikan kebakaran sebanyak 7.8 peratus.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1376377/pemilik-premis-jangan-halang-sistem-semburan-air-automatik-supaya
|