
SUMBANGAN: Shahelmey bersama isteri Datin Dayang Siti Noor Hayyat Awang Mohd Saufi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak dari Rumah Asnaf As-Sakinah.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya lebih mementingkan tumpuan berkhidmat kepada rakyat selagi penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-16 belum berakhir.
Menteri Kerja Raya ini berkata, jentera di kawasannya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sebelum pembubaran DUN tahun ini. Pihaknya turut maklum tahun ini genap lima tahun mandat ataupun tempoh penggal DUN yang ke-16.
Sehubungan itu beliau berkata, persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sentiasa diperbaiki daripada semasa ke semasa untuk dilengkapkan apabila tiba masa pembubaran kelak.
"Apa-apapun 'politic is dynamic' (politik adalah dinamik). Apa yang penting buat masa sekarang kami menumpukan kepada memberi perkhidmatan selagi penggal belum berakhir," katanya.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan sempena Program Iftar Ramadan 2025 Bersama OCN24, Warga Rumah Asnaf As-Sakinah dan Rakan Media di sini semalam.
KENANGAN: Para tetamu jemputan merakamkan kenangan bergambar bersama Shahelmey selepas penyampaian sumbangan pada majlis itu.
Beliau berkata, soal bertanding atas tiket parti apa akan diumumkan apabila tiba masanya. Namun sekarang ini tumpuan lebih kepada kerja mempersiapkan jentera.
Dalam pada itu jelasnya, semua turut maklum Ketua UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sebelum ini mengumumkan nama calon lain yang akan bertanding bagi kerusi Tanjung Keramat.
"Tapi itu sekadar pengumuman...akhirnya nanti adalah watikah yang akan dikeluarkan oleh Pengerusi Barisan Nasional Malaysia," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, tahun ini adalah tahun keempat pihaknya menganjurkan majlis berbuka puasa bersama warga OCN24, rakan-rakan media dan juga warga rumah asnaf.
Menurutnya, program bersama tiga kumpulan berkenaan adalah untuk terus menjalinkan hubungan persahabatan yang terjalin baik selama ini.
"Kita berharap dengan acara ini kita dapat bertemu mesra dan duduk sambil berbuka puasa untuk bertukar-tukar fikiran dan juga pendapat.
"Saya juga mengucapkan banyak terima kasih kepada semua yang menerima jemputan kami untuk menjayakan program Iftar Ramadan pada hari ini," katanya.
|