Edited by Vellfire at 24-3-2025 02:09 PM

Dr. AWANG
KOTA KINABALU: Puisi, sebagai medium seni yang menggambarkan suara batin pemuisi, telah mengungkapkan pelbagai aspek kehidupan manusia, merangkumi persoalan diri, keluarga, masyarakat, negara, serta isu-isu antarabangsa.
Ahli Dewan Negara, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata puisi bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada peminat sastera, tetapi memberikan santapan rohani kepada masyarakat umum.
Katanya, puisi adalah salah satu sumbangan pemuisi dalam memajukan tamadun melalui seni bahasa yang halus dan kreatif.
“Ia menyampaikan ilmu dan maklumat dengan cara yang tidak langsung, berbeza dengan karya ilmiah, tetapi memberi kesan yang mendalam melalui rasa dan jiwa manusia,” katanya.
Beliau yang juga penasihat Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Puisi Ramadan Sedunia 2025 dan Sambutan Hari Puisi Sedunia UNESCO 2025 secara dalam talian, pada Sabtu.
Dr. Awang turut mendeklamasikan sebuah puisi bertajuk Apa yang Dikejar pada Malam Qadar dalam program berkenaan.
“Saya berharap acara seumpama ini dapat diteruskan sebagai sumbangan kepada pembangunan rohaniah dan pemupukan nilai kemanusiaan sejagat, sejajar dengan semangat puisi yang merentasi sempadan bangsa dan negara,” katanya.
Dr. RADZUAN
Sementara itu, Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim menyatakan bahawa tugas penulis, khususnya pemuisi, kini bukan lagi sekadar memenuhi minat peribadi, tetapi juga untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat.
Katanya, penulis perlu mengangkat nilai-nilai murni dan menyampaikan penulisan yang penuh nasihat serta maklumat bertanggungjawab.
Dr. Radzuan turut mendeklamasikan puisinya yang berjudul Andai Malam ini Malam al-Qadar sebaik selesai berucap.
Program yang berlangsung selama tiga jam bermula pada pukul 10malam itu turut menyaksikan penyertaan 26 orang pemuisi dari sepuluh negara, termasuk Malaysia.
Negara-negara itu adalah Australia, China, Rusia, India, Indonesia, Brunei, Amerika Syarikat, Kanada, dan Thailand.
Antara pemuisi antarabangsa yang turut serta adalah Dr. Victor Pogadaev (Rusia), Ammarah Naim Baker (Amerika Syarikat), Nur Rabiah Harim Nor (Kanada), Dr. Brajesh Kumar Gupta (India), Dr. Tuah Zhau (China), Datin Yasmaine Millson (Australia), dan Dr. Suraiya Chapakiya (Thailand).
Dari Indonesia, pemuisi Ibu Hudan Nur, Zab Bransah, Isbedy Stiawan, dan Zafirah Adiria Putri Isbedy turut mengambil bahagian, manakala Brunei diwakili oleh Aminah Momin, Kriskarmila, dan Dr. Zefri Arif.
Malaysia diwakili oleh pemuisi terkemuka seperti Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Timbalan Pengerusi Tetap PEMUISI Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Bendahari PEMUISI Datuk Wan Aziz Wan Hamzah, dan beberapa tokoh lain seperti Datuk Jasni Matlani, Dr. Abang Hut Abang Engkeh, Alkhair Aljohore, A. Ghani Abdullah, Norliza Yamin, Umar Mokhtar Abdullah, dan Letfee Ahmad.
Pengerusi Tetap PEMUISI, Dr. Ferri Anugerah Makmur dan Juzaila Ab Satar bertindak sebagai pengacara, dengan sokongan teknikal dari Siti Nabilah Kasdi.
|