Sungai Petani: Penuntut universiti didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh teman wanitanya dengan cara menikam gadis itu, minggu lalu.
Bagaimanapun tertuduh, B Vashigharan, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Penuntut itu didakwa cuba membunuh Kirtanah Poomaran, 19, dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan di hadapan tandas sebuah universiti swasta di Bedong, Kuala Muda pada 10 pagi, 17 Mac lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala tertuduh diwakili peguam P Ashokumar.
Turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa ialah Ranjit Singh Sandhu.
Tertuduh tidak dibenar ikat jamin dan mahkamah menetapkan 14 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan pelajar universiti swasta cedera selepas ditikam berkali-kali dalam kejadian di kampus universiti, Isnin lalu.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan dan suspek ditahan ketika mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kampus.