Edited by sfhzuraz at 23-3-2025 05:34 PM
Bayi lelaki 9 bulan perlu sumbangan RM90,000 untuk bedah jantung
MOHD ISKANDAR OTHMAN
23 Mac 2025 04:50pm

Keadaan Muhammad Aidan Naufal yang mengalami kecacatan jantung sejak lahir.
BUKIT MERTAJAM - Bayi lelaki berusia sembilan bulan yang mengalami masalah kecacatan jantung sejak lahir memerlukan bantuan dana orang ramai sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan dengan segera.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Muhammad Aidan Naufal Mohamad Rizuan telah menjalani pembedahan sementara bagi memasukkan stent semasa berusia dua bulan kerana mengalami sesak nafas.
Menurutnya, bayi itu kemudiannya dibenarkan pulang ke rumah apabila keadaannya stabil selepas pembedahan.
“Namun, baru-baru ini dia mula sesak nafas, asma, keletihan dan lemah badan akibat masalah jantung.

Sui Hau (kiri) ketika melawat rumah keluarga terbabit di Kulim pada Sabtu lalu telah menyampaikan sumbangan kerusi roda elektrik kepada ibu serta susu dan lampin bayi.
“Doktor memaklumkan pembedahan perlu dilakukan sebelum dia mencecah usia setahun dan jika tidak, nyawanya dalam bahaya,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Sui Hau berkata, ibu bapa bayi tersebut buntu kerana tidak mampu menampung kos pembedahan sehingga terpaksa merayu bantuan dana orang ramai sebanyak RM90,000.
“Bapanya, Mohd Rizuan Azman, 36, bekerja sebagai juruteknik pendawaian elektrik.
“Ibu, Norshakila Mohd Noor, 31, seorang orang kurang upaya (OKU) yang lumpuh separuh badan sejak berusia 18 tahun akibat terjatuh dari tempat tinggi.
“Ketika bapa bekerja, ibunya turut mengurus dua lagi anak berusia 5 dan 8 tahun termasuk menghantar ke sekolah biarpun terpaksa berkerusi roda,” katanya.
Beliau berkata, pihak One Hope Charity yang melawat rumah keluarga ini di Kulim pada Sabtu lalu telah menyampaikan sumbangan kerusi roda elektrik kepada ibu serta susu dan lampin bayi.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3193433435) atau di laman web onehopecharity.org.
https://www.sinarharian.com.my/article/719259/edisi/utara/bayi-lelaki-9-bulan-perlu-sumbangan-rm90000-untuk-bedah-jantung
|