
Fadillah menyerahkan replika cek kepada penerima sambil disaksikan Rubiah (kiri) dan yang lain pada majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW Peringkat Negeri Sarawak di Kampung Empila di Kota Samarahan, pada Jumaat.
KUCHING: Umat Islam di Sarawak digalakkan untuk aktif berwakaf bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, masyarakat perlu mengambil peluang ini, lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI baru-baru ini.
Menurutnya, wakaf merupakan amalan penting dalam Islam selain zakat, dengan peranannya dalam menyokong pendidikan, kebajikan, dan institusi keagamaan.
“Berwakaflah, sebab wakaf ini adalah amalan untuk sepanjang hayat kita, kerana manfaatnya akan berterusan walaupun selepas kita tiada.
“Ia akan digunakan lebih kepada pendidikan agama, pendidikan generasi anak-anak kita serta dalam bidang kebajikan dan sebagainya. Sedikit sumbangan pun akan memberi manfaat kepada kita walaupun RM1,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Peringkat Negeri Sarawak di Kampung Empila di Kota Samarahan, pada Jumaat.
Fadillah turut menekankan bahawa wakaf bukan sekadar satu ibadah, tetapi juga berperanan penting dalam memperkasakan agenda pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan dan bantuan daripada KKDW Sarawak kepada enam agensi di negeri ini.
Antaranya, MARA; Yayasan Pelajaran Mara (YPM); Rural Capital Berhad (RCB); Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA); Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad dan Giatmara.
Sebanyak RM27,710,693.90 telah disalurkan kepada 159 penerima yang diwakili oleh enam agensi berkenaan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, serta tetamu kehormat lain.
|