Edited by Vellfire at 23-3-2025 05:57 AM

LANCAR: Chok merakamkan gambar bersam tetamu jemputan lain semasa Majlis Pelancaran J7 PHEV di Universal JAECOO 3S Jalan Lintas di sini.

KENANGAN: Chok bersama kakitangan Universal JAECOO 3S Jalan Lintas di sini.

BAGUS: Chok menunjukkan tanda bagus semasa berada di tempat duduk pemandu J7 PHEV.

PENERANGAN: Chok menerangkan perihal J7 PHEV semasa sidang media selepas pelancaran di bilik pameran Universal JAECOO.
KOTA KINABALU: J7 PHEV yang menggunakan teknologi Sistem Hibrid Super (SHS) kini dilancar di JAECOO Kota Kinabalu dan menjanjikan jarak perjalanan sehingga 1,300 kilometer dengan satu tangki penuh serta sekali cas melalui tiga komponen teras SHS J7 PHEV sebagai asas keyakinan JAECOO.
Pengarah Urusan Universal Motor Group Datuk Chok Yun Kiong berkata, J7 PHEV sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) kegunaan lasak premium itu lengkap dengan tiga komponen teras iaitu enjin suntikan terus petrol 1.5L pengecas turbo generasi ke-5 JAECOO yang mampu menghasilkan 141 kuasa kuda (hp) dan tork 215Nm.
“Komponen kedua ialah transmisi hibrid khusus kelajuan tunggal JAECOO yang membolehkan J7 PHEV meluncur seperti kenderaan elektrik (EV) pada kelajuan rendah dan juga semasa melahu (idling), di mana sistem itu boleh memutuskan sambungan kepada enjin, membolehkan pemandu menggerakkan kenderaan tanpa menggunakan setitik petrol.
“Namun, apabila pemandu memerlukan kuasa, klac elektromagnetik menghidupkan semula enjin untuk menghasilkan tork maksimum pada roda hadapan, memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 8.5 saat.
“Komponen terakhir adalah Bateri Voltan Tinggi (HV) berkapasiti 18.3 kWj yang dibina menggunakan reka bentuk Bilah Fosfat Besi Litium 106 sel, memastikan pemandu boleh mengecas hingga 100 peratus, manakala sistem pengurusan bateri pintarnya tidak pernah membiarkan cas jatuh di bawah 20 peratus,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran J7 PHEV di Universal JAECOO 3S Jalan Lintas di sini.
Menurutnya, peralihan tenaga industri automotif Malaysia adalah satu proses berterusan. Di samping pengguna awal, sebahagian besar masyarakat masih ragu-ragu tentang ciri-ciri praktikal Kenderaan Elektrik (EV) dan ekosistem EV secara umum.
“JAECOO membantu pengguna memanfaatkan jalan tengah dalam pengangkutan tenaga baharu dengan melancarkan SUV kegunaan lasak premium JAECOO J7 PHEV.
"Sejak mula bertapak di Malaysia, JAECOO memantapkan kedudukannya sebagai jenama SUV premium pencabar pasaran. Kini, kami berbangga untuk mengekalkan kedudukan kami sebagai jenama SUV premium pencabar dalam sektor pengangkutan tenaga baharu menerusi JAECOO J7 PHEV.
“Dengan melancarkan JAECOO J7 PHEV, kami berharap dapat memenuhi keperluan pelanggan arif di Malaysia yang semakin berubah," katanya.
Beliau berkata, SHS yang membawakan teknologi dan prestasi terbaik dalam kelasnya akan menaik taraf keupayaan kenderaan hibrid Malaysia dalam pasaran yang pesat berkembang dan mewujudkan ruang untuk pertumbuhan kompetitif.
“Kami sukacita untuk menyediakan pilihan yang lebih luas kepada pemandu yang ingin beralih kepada kaedah pengangkutan hibrid, sekali gus menyokong matlamat peralihan tenaga Malaysia,” katanya.
Bercakap lanjut beliau berkata, dalam menjamin keselamatan dan ketenangan pengguna, bateri J7 PHEV disediakan dalam keadaan tahan habuk dan air, dengan penarafan IP68, iaitu penarafan standard tertinggi dalam skala IP.
“Direka bentuk untuk berfungsi dalam suhu lampau, terutamanya di Malaysia, bateri J7 PHEV dapat menahan persekitaran ekstrem, termasuk cuaca panas terik dan banjir, JAECOO J7 PHEV menyokong pengecasan DC pantas yang disediakan buat pertama kali dalam sebuah PHEV.
“Pengecasan 40 kW membolehkan bateri dicaskan daripada 30 peratus kepada 80 peratus dalam masa 20 minit sahaja. Di rumah, pemilik boleh mengecas JAECOO J7 PHEV mereka dengan mudah menggunakan kotak dinding AC (boleh dibeli secara berasingan) pada 6.6kW dari 0 hingga penub dalam masa kurang daripada empat jam.
“JAECOO J7 PHEV mempunyai jarak perjalanan elektrik tulen 106km (julat NEDC) yang terbaik dalam kelasnya dan penggunaan bahan api terendah dalam kalangan kenderaan setaraf, iaitu 4.77 liter bagi setiap 100km dalam keadaan kehabisan kuasa,” katanya.
Tambahnya, JAECOO juga menyepadukan ciri-ciri luaran tersendiri yang akan membolehkan J7 PHEV lebih mudah dikenali berbanding model ICE (enjin biasa).
“Penampilan lebih gah terserlah dalam warna Olive Grey (Kelabu Zaitun) dua ton yang menarik perhatian, dilengkapi Rim Aero 19" dan cermin sisi aero. Di belakang, bahagian hujung ekzos disembunyikan dan tidak menonjol, dan ciri yang paling menyerlah ialah Penutup Tonneau Pawagam.
“Bahagian bawah penutup tonneau yang berwarna putih boleh diterbalikkan untuk bertukar menjadi skrin. Dengan ciri ini, pengguna boleh menayangkan filem atau memancarkan siaran acara sukan secara langsung di luar rumah melalui projektor yang mendapat bekalan elektrik daripada ciri keupayaan Vehicle to Load (V2L) 3.3kW.
Buat masa ini J7 PHEV boleh didapati dalam tiga warna, iaitu Khaki White (Putih Khaki), Carbon Crystal Black (Hitam Kristal Karbon) dan Moonlight Silver (Perak Cahaya Bulan). Khaki White ialah edisi terhad yang pasti menjadi dambaan ramai kerana hanya terdapat 100 unit sepertinya di Malaysia. Selepas itu, JAECOO akan memperkenalkan pilihan warna Olive Grey (Kelabu Zaitun),” katanya.
Tambahnya, bagi aspek dalaman, JAECOO meringkaskan reka bentuk kabinnya di mana perbezaan ketara dalam J7 PHEV ialah pemindahan tombol gear kepada penukar gear yang dipasang pada turus stereng.
“Pemandu boleh memilih sama ada untuk memandu sepenuhnya dalam mod EV atau membenarkan kenderaan menentukan mod optimum berdasarkan keadaan pemanduan, ciri yang pertama kali disediakan dalam sebuah PHEV,” katanya.
Chok berkata, sistem Hibrid Super J7 PHEV juga menyediakan tahap dan sistem keselamatan yang terbaik dalam segmennya. Menetapkan penanda aras keselamatan baharu keselamatan dengan ADAS Tahap 2.5 yang komprehensif, J7 PHEV dilengkapi dengan lapan beg udara sebagai standard dan disokong oleh ciri-ciri yang ditambah baik seperti Sistem Pemantauan Pemandu, Pencegahan Keluar Lorong dan Kawalan Halaju Adaptif.
J7 PHEV (2WD) ditawarkan pada harga RM163,250 dan semua SUV J7 PHEV disertakan dengan waranti enjin tujuh tahun atau sehingga jarak 150,000km dan waranti lapan tahun atau sehingga jarak 160,000km bagi bateri, motor kuasa dan unit pengawal motor kuasa. Waranti lapan tahun menawarkan pertukaran 1 dengan 1* apabila keadaan hayat (SOH) bateri jatuh di bawah 70 peratus dalam tempoh jaminan.
Untuk maklumat lanjut pelanggan boleh terus mengunjungi bilik pameran Universal Jaecoo 3S Kota Kinabalu Showroom di Jalan Limau Manis Kolombong serta melayari www.jaecoo.com.my dan ikuti perkembangan terkini di platform media sosial JAECOO Malaysia.
|