ANUP Raut dipenjara enam tahun selepas mengaku tikam rakan dengan pisau. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Pengawal keselamatan warga Nepal yang menikam rakan dengan pisau di perut hingga koma, Januari lalu dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Anup Raut, 33, yang membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa Nepal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap rakannya menggunakan senjata berupa pisau di belakang sebuah restoran di Jalan Abdullah, di sini, kira-kira 9.40 malam, 18 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 19 Januari jam 9 pagi, pengadu yang juga majikan menerima panggilan memaklumkan pekerjanya parah ditikam di perut di sebuah restoran.
Satu laporan polis dibuat pengadu dan polis menahan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Meriam, di sini, pada hari sama.
Tertuduh turut memandu arah polis ke belakang sebuah kedai dan menunjukkan pisau anggaran 28 sentimeter yang digunakan untuk menikam mangsa.
Hasil siasatan mendapati sewaktu berjalan pulang ke asrama pekerja, mangsa dilaporkan menolak tertuduh menyebabkan dia marah.
Tikaman itu menyebabkan mangsa menerima rawatan selama 30 hari akibat kecederaan parah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah memutuskan hukuman penjara enam tahun terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh ditahan pada 19 Januari lalu.
|