Balveer (tiga, kiri), menunjukkan kotak berisi air ketum yang dirampas.
JOHOR BAHRU - Polis merampas 790 botol berisi 1,185 liter air ketum bernilai RM11,850 hasil dua serbuan di kawasan Kempas Baru, di sini, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, dalam serbuan pertama, polis turut menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 38 tahun selain merampas 200 botol air disyaki air ketum dianggarkan seberat 300 liter, satu tong air warna ungu dan hijau yang dianggarkan berjumlah RM30,000.
Katanya, dalam serbuan kedua yang dilakukan oleh Kompeni C Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion (BN) 5 ke sebuah premis di kawasan Kempas Baru pada Khamis sekitar jam 2.30 pagi, polis merampas 590 botol berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran berat 885 liter, 62 tong gas jenama Solar Gas, 81 pek bungkusan berisi 70 botol lut sinar dan pelbagai barangan lain dianggarkan berjumlah RM8,850.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah.
"Semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau di mana masing-masing di bawah kesalahan dadah dan jenayah manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod lampau.
"Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru dan dibenarkan tahanan reman selama tiga hari mulai Jumaat hingga Ahad ini," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 iaitu mengawal selia aktiviti pengimportan, pemilikan, pengulangan, compounding, penyimpanan, pengangkutan, penjualan dan penggunaan bahan racun yang disenaraikan dalam akta.
Jika disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
|