Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang terlibat kemalangan di KM2.17 Lebuhraya Utara-Selatan arah
KULAI – Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan dilanggar dua kereta dalam di Kilometer (KM) 2.17 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, dalam kejadian jam 11.45 malam itu melibatkan sebuah motosikal Yamaha FZ150 ditunggang mangsa dan dua kereta iaitu Perodua Myvi dan Proton Preve.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 35 tahun hilang kawalan menyebabkan motosikalnya terbabas ke lorong kanan.
Keadaan Kereta Proton Preve dan Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan. - foto IPD Kulai
"Pada masa sama, sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 28 tahun dan Proton Preve dipandu lelaki berusia 48 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut.
"Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kereta terbabas ke lorong kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, mangsa yang mengalami kecederaan parah di badan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.
|