Aznan (tengah berdiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Perpustakaan Awam Johor dan UiTM. - NSTP/OMAR AHMAD
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri yakin pembinaan 18 sekolah baharu dalam tempoh lima tahun oleh Kementerian Pendidikan (KPM) mampu menyelesaikan isu kepadatan murid sekolah di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata semua 18 sekolah baharu itu kebanyakannya akan dibina di daerah ini serta Pasir Gudang yang berdepan isu kepadatan murid.
Ketika ini, katanya penyediaan 18 sekolah baharu itu dalam proses rangka reka bentuk bangunan dan sebut harga.
"Sebenarnya kita dalam proses menyelesaikan perkara itu... tahun lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah umumkan pembinaan 18 sekolah baru untuk negeri Johor.
"Ia antara inisiatif kita berjumpa dengan KPM untuk dapatkan sekolah baharu ini supaya dapat huraikan masalah sekolah padat.
"Dalam masa sama kita cuba selesaikan sehabis baik untuk menempatkan pelajar mengikut kadar ditetapkan ketika ini. Sekiranya perlu pendekatan kelas sementara bagi menyelesaikan isu terbabit kita akan fikirkan dan memberi sokongan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perpustakaan Awam Johor dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Perpustakaan Awam Johor di sini, hari ini.
Aznan ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dilaporkan berkata 18 sekolah baharu itu akan dibangunkan dengan kos RM171 juta.
Antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Alam 3, SK Taman Scientex 2, SK Taman Nusa Damai 2, SK Taman Desa Tebrau, SK Taman Setia Tropika, SK Bandar Uda Utama, SK Taman Nusa Bayu dan SK Kota Masai 4.
Turut bakal dibangunkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setia Tropika, SMK Taman Impian Jaya, SMK Taman Setia Indah, SMK Bandar Seri Alam 3, Kolej Tingkatan Enam Iskandar Puteri dan Kolej Tingkatan Enam Pasir Gudang.
|