MOLLA dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas dituduh membunuh rakan sekerja. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Seorang pekerja kilang warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya, dengan menikamnya menggunakan pisau dalam kejadian yang berlaku minggu lalu.
Tertuduh, Molla Abdul Aziz, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh lelaki warga Nepal, Mochi Satindar, 30, di asrama pekerja di Jalan Wawasan 14, Kawasan Perindustrian Sri Gading Fasa 2, antara 11.30 malam, 9 Februari hingga 12.30 tengah malam, 10 Februari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian itu, siasatan polis mendapati kejadian berpunca daripada provokasi sekumpulan pekerja asing, termasuk mangsa dan tertuduh, sehingga mencetuskan perang mulut dan pergaduhan.
Disiarkan pada: Februari 20, 2025
|