Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan dua kenderaan. Foto JBPM NS
SEREMBAN - Penunggang motosikal maut manakala dua lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuala Pilah- Seremban pada Rabu.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.08 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampangan dikejarkan ke lokasi.
"Laporan daripada komander operasi memaklumkan kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara dan sebuah motosikal jenis Yamaha.
"Terdapat dua mangsa masing-masing merupakan seorang wanita dan lelaki dari kereta Perodua Kembara mengalami kecederaan dikeluarkan oleh pegawai komander operasi (PKO)," katanya pada Rabu.
Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan dalam kenderaan. Foto JBPM NS.
Katanya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menaiki ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Seorang lelaki iaitu penunggang motosikal tersepit pada kereta berkenaan dikeluarkan oleh PKO dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
|