Tragedi menyayat hati yang mengorbankan sepasang suami isteri dan cucu perempuan mereka dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar pada 9 Ogos tahun lepas.
JOHOR BAHRU - Seorang peniaga masih tidak dapat melupakan tragedi menyayat hati yang mengorbankan sepasang suami isteri dan cucu perempuan mereka dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar pada 9 Ogos tahun lepas.
Muhamad Haniff berkata, semasa kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, dia yang sedang memotong buah-buahan di dapur rumah keluarganya terlihat cahaya api dari bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan.
"Saya kemudiannya bergegas keluar dan mendapati rumah Pak Cik Nor yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan sudah terbakar kira-kira 90 peratus, sebelum menemukan mereka bertiga yang terperangkap di bahagian dapur.
"Setelah itu, saya ternampak badan Pak Cik Nor sudah terbakar dan dia mengerang kesakitan tetapi malangnya saya tidak sempat menarik (menyelamatkan) dia, tetapi sempat tarik keluar cucu dia... ALLAH sahaja yang tahu... hingga tersiat kulitnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor di sini pada Rabu.
Pada majlis itu, Muhamad Haniff antara penerima sijil penghargaan daripada pihak JBPM Johor atas keberaniannya dalam usaha membantu menyelamatkan nyawa mangsa yang terlibat.
Mohamed Nor, 82 dan Ara, 76, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Noradriana, 11, menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, polis mengklasifikasikan kematian tiga beranak itu sebagai kes bunuh selepas hasil laporan bedah siasat ketiga-tiga mangsa mendapati ada unsur-unsur jenayah. - Bernama
|