NUR Atiqah (kiri) dan suami bersama Nur Alisya Humaira yang menghidap penyakit Biliary Atresia. FOTO Azrul Edham
Seremban: Bayi berusia 11 bulan yang mengalami kegagalan fungsi hati atau Biliary Atresia (BA), Nur Alisya Humaira Mohd Shahril akan berlepas ke Shanghai, China, Jumaat ini bagi menjalani pembedahan pemindahan hati.
Nur Alisya Humaira akan ditemani ibu bapanya, Nur Atiqah Barawi, 33 dan Mohd Shahril Ishak, 33, dijangka berlepas pada jam 8 pagi.
Nur Atiqah berkata, dia sangat bersyukur kerana dengan bantuan Persatuan Biliary Atresia SeMalaysia (BAMA) dan orang ramai untuk mengutip dana awam bagi pembedahan anaknya itu.
"Tiada lain yang dapat dikatakannya melainkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang membantu terutama BAMA.
"Alhamdulillah, kami akan ke China dengan diiringi wakil BAMA dan akan berada di sana selama 25 hari.
"Anak berada dalam keadaan baik setakat ini cuma berat badan dia turun sedikit, " katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, sebanyak 20 peratus hatinya akan didermakan kepada anak kedua daripada dua beradik itu, namun perlu menjalani pemeriksaan lanjut terlebih dahulu.
"Saya mengharapkan doa orang ramai supaya semuanya baik-baik sahaja dan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi," katanya yang terpaksa berjauhan dengan anak sulung berusia lima tahun hampir sebulan.
Menurutnya, pihak keluarga sangat terharu dengan kemurahan hati rakyat Malaysia, malah terpaksa mengeluarkan kenyataan di Facebook dana untuk anaknya sudah mencukupi.
"Saya dan suami tak jangka dalam masa beberapa hari saja dana pembedahan yang melebihi RM100,000 berjaya dikumpul dan semuanya atas ihsan orang ramai.
"Terima kasih saya ucapkan dan sekarang ini saya hanya minta tolong doakan saya dan anak selamat jalani pembedahan ini.
"Saya hargai dan berharap Allah akan gantikan dengan kebaikan kepada semua orang dan kami sebagai ibu bapa akan terus kuat," katanya.
Harian Metro pada 4 Februari lalu melaporkan sangkaan suami isteri anak berusia 11 bulan itu hanya jaundis, namun luluh hati pasangan itu apabila organ hati bayi disahkan sudah kronik.
Selepas berusia dua minggu, Nur Alisya Humaira menunjukkan bacaan jaundis normal, namun ketika berusia lapan bulan, perut anaknya membesar selain alat sulit membengkak sebelum mereka merujuknya ke Hospital Tuanku Azizah (HTA).
Doktor mengesahkan hati anak sudah kronik dan menghidap BA.
|