
Azman Adnan menyantuni murid-murid ketika mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi sempena ketika hari pertama sesi persekolahan tahun 2025-2026 hari ini. FOTO BERNAMA
Seremban: Seramai 100,000 murid daripada keluarga B40 akan menerima bantuan buku tulis melalui Program 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula membabitkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Ketua Pengarah KPM Azman Adnan berkata, sebagai permulaan, sebanyak 2,060 sekolah terbabit bagi tahun pertama penganjuran iaitu semua sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Inisiatif ini bertujuan memupuk kesedaran dan semangat mesra alam sekitar dalam kalangan murid serta meringankan beban kewangan golongan B40 dalam menyediakan keperluan asas pendidikan anak-anak.
"Bantuan buku tulis ini melibatkan sejuta buku tulis untuk kegunaan 100,000 murid dengan pengagihan 10 buku tulis seorang kepada 40 murid miskin dan miskin tegar di setiap sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Penyerahan Program 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Pagi, di sini, hari ini.
Turut hadir,Pengarah Pendidikan Negeri Khalidah Omar dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Mohd Khair Ngadiron.
Sementara itu, Mohd Khair berkata, pihaknya menyasarkan lebih dua juta buku tulis kitar semula dapat diagihkan kepada murid B40 di seluruh negara pada tahun hadapan.
Menurutnya, pihaknya sangat mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan individu untuk menyumbang kepada program terbabit.
"Individu dan syarikat yang menyertai program ini turut mendapat pelepasan cukai hingga 10 peratus sebagai langkah penjimatan sebagai pembayar cukai," katanya.
Katanya, bantuan buku tulis ini turut diberikan kepada murid B40 terpilih di 44 sekolah pilihan di Johor, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan.
Disiarkan pada: Februari 17, 2025
|