Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan menunjukkan peralatan memproses arak tiruan, selepas sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Iskandar Puteri: Polis melumpuhkan sindiket memproses arak tiruan bernilai RM329,990, hasil serbuan dua kilang di Kawasan Industri Jaya dan Kawasan Taman Industri JB Perdana, di sini pada 7 dan 9 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, serbuan dilakukan pasukan Balai Polis Nusa Bestari dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Katanya, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan menyasarkan pembeli dalam kalangan warga asing.
"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti dalang sindiket ini," katanya di sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.
Kumarasan berkata, serbuan pertama di Kawasan Taman Industri Jaya adalah 122 kotak dan 45 botol arak pelbagai jenama, sembilan tong berisi cecair dipercayai alkohol dan sembilan unit mesin memproses alkohol dengan jumlah keseluruhan bernilai RM317,640.
Katanya, empat lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 43 yang juga pekerja di premis ditahan dalam serbuan itu, manakala serbuan kedua merampas 438 kotak botol arak kosong, lima tong berisi alkohol, 37 kotak penutup botol, 47 set kotak kosong arak pelbagai jenama, tujuh kotak pelekat logo dan empat mesin pelekat logo bernilai RM12,350.
"Dalam serbuan itu lima lelaki Myanmar berusia 22 hingga 39 tahun ditahan. Kesemua tahanan warga asing direman 14 hari bermula 8 Februari (tahanan serbuan pertama) dan 10 Februari (tahanan serbuan kedua).
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen Akta Kastam 1967," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam merampas 530 kotak arak pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM79,500 di Nusa Bestari pada 12 Februari lalu.
Menurutnya, tujuh lelaki tempatan berusia 26 hingga 46 tahun ditahan dengan empat daripadanya mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
"Semuanya direman selama 12 hari bermula 13 Februari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e)," katanya.
Disiarkan pada: Februari 17, 2025
|