AZNAN (tengah) beramah mesra dengan murid tahun satu. FOTO Omar Ahmad
Johor Bahru: Penilaian secara berperingkat dalam tempoh enam bulan hingga setahun akan dibuat terhadap program Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bagi melihat keberkesanannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata, penilaian itu bertujuan memastikan program SRBJ yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara mencapai matlamatnya.
Katanya, sesi persekolahan yang bermula hari ini lancar termasuklah di empat Sekolah Rintis Bangsa Johor.
"Program SRBJ bukan hanya melibatkan sesi pembelajaran tetapi juga infrastruktur iaitu bagaimana kita dapat tingkatkan penggunaan bengkel bagi memastikan pembela lebih relevan dengan subjek sains dan teknologi.
"Pembelajarannya tidak akan mengganggu silibus pendidikan sebaliknya hanya terdapat penambahan pembelajaran sedikit. Selain libatkan murid, pelajar dan guru, program ini turut melibatkan ibu bapa," katanya selepas melawat hari pertama sesi persekolahan di SK Seri Kota Puteri 4, di sini, hari ini.
Menurut Aznan, bagi menjayakan program SRBJ ini, kerajaan negeri bakal menghantar kumpulan fasa kedua membabitkan 90 guru sekolah SRBJ ke Singapura, 7 hingga 11 April depan.
Hari ini, 585,220 orang pelajar dari 1,194 sekolah di Johor memulakan sesi persekolahan pertama bagi tahun 2025.
Disiarkan pada: Februari 17, 2025
|