Lukisan mural memberi nilai tambah tarikan kepada pengunjung sebagai persediaan Tahun Melawat Johor 2026.
JOHOR BAHRU – Lukisan mural di dinding sekitar pusat bandar Johor Bahru menjadi salah satu inisiatif untuk menceria dan memperkenalkan keunikan seni, budaya dan warisan negeri Johor kepada umum.
Ia juga memberi nilai tambah tarikan kepada pengunjung sebagai persediaan Tahun Melawat Johor 2026.
Lokasi yang menjadi pilihan adalah di beberapa laluan utama seperti Jalan Tan Hiok Nee, Jalan Lee Thye Heng dan Jalan Segget.
Pengunjung yang datang ke kawasan itu berpeluang untuk bergambar bersama lukisan mural yang dihasilkan sekali gus dapat mengenali keunikan budaya, sejarah dan warisan Johor.
Salah seorang pengunjung bergambar di lukisan mural yang memaparkan budaya dan makanan warisan Johor.
Hasil daripada gabungan tersebut, dinding di kawasan berkenaan kini dihiasi dengan lukisan alat muzik gambus, tarian zapin selain destinasi pelancongan menarik seperti Zoo Johor dan Kampung Sungai Melayu.
Pada masa sama, terdapat juga mural memaparkan alat muzik ghazal Melayu Johor dengan lukisan harmonium, tabla, violin, marakas dan tamborin yang dipaparkan di Jalan Tan Hiok Nee.
Kawasan tersebut menjadi destinasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana mempunyai banyak kemudahan antaranya parkir berbayar.
Pada masa sama, ia menjadi tumpuan pengunjung untuk menikmati kepelbagaian makanan warisan yang dijual di kedai atau restoran di sekitar lokasi tersebut.
Bandar lebih ceria Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri, K Raven Kumar berkata, menerusi gabungan elemen kebudayaan, sejarah dan keindahan Johor menjadikan bandar itu lebih ceria dan penuh warna.
Raven (kanan) bersama Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim bergambar di lukisan mural baharu di Jalan Lee Thye Heng.
“Ini merupakan usaha kita dalam memupuk dan memperkenalkan kepada masyarakat termasuk pelancong luar mengenai keunikan seni dan budaya Johor.“Di kawasan ini, kita bukan sahaja mempunyai lokasi yang menarik untuk bergambar dan swafoto, malah ada juga kedai makan yang menjual makanan tradisi pelbagai bangsa di sini,” ujarnya.
Tambahnya, kedudukan strategik di tengah bandar raya menjadikan ia mudah diakses dan turut dilengkapi dengan tempat beribadat yang berdekatan untuk memudahkan pengunjung.
Sementara itu, pelukis mural, Muhammad Nabil Mohd Azahari berkata, dia mengambil tempoh selama satu bulan untuk menyiapkan lukisan di empat lokasi.
“Semua idea dan ilham mengenai karya berkenaan adalah hasil perbincangan antara pihak Tourism Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
“Sewaktu saya siapkan lukisan itu pun ramai yang berhenti bertanya mengenainya dan pada hari terakhir ramai juga terus bergambar di dinding berkenaan,” ujarnya.
Lukisan mural Zoo Johor menghiasi dinding premis.
Bagi pengunjung, Mohd Aiman Yusuf, 29, ini merupakan kali pertama dia bersama keluarga datang ke Johor Bahru dan mengakui teruja dengan lukisan yang dihasilkan.
Menurutnya, berdasarkan keunikan dan kemudahan yang tersedia di kawasan tersebut telah menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
|