Tangkap layar video tular memaparkan dua lelaki bergaduh di Tambak Johor.
JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai bergaduh di Tambak Johor yang video kejadiannya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan giat dijalankan untuk mengenal pasti individu terbabit, saksi kejadian dan punca insiden berkenaan.
"Satu video tular mengenai pergaduhan membabitkan dua lelaki di Tambak Johor telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook pada Jumaat.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh hubungi polis di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ng Boon Jian 016-7500470," ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, tular video berdurasi satu minit 10 saat memaparkan dua lelaki yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam dipercayai Toyota Velfire bertindak menghentikan kenderaan masing-masing di tengah-tengah Tambak Johor.
Kemudian penumpang MPV satu lagi turut turun dari kenderaannya yang diberhentikan di kiri jalan sebelum pergaduhan mulut berlaku antara mereka.
Mereka kemudian dipercayai bertumbuk dan kedengaran pemandu MPV mendakwa penumpang kenderaan satu lagi itu memulakan pergaduhan terlebih dahulu dengan berkata 'dia hentam aku dulu'.
Berlaku pergaduhan antara mereka sebelum dileraikan pemandu lori dan pengguna jalan raya yang lain.
|