KEADAAN kediaman penduduk di Jalan Attar, Kampung Setanggi, yang dimasuk banjir kilat hari ini. FOTO ihsan penduduk
Johor Bahru: "Saya terlena seketika selepas makan ubat tekanan darah tinggi sebelum dikejutkan anak dan memberitahu rumah dimasuki air," kata suri rumah, Ros Fariza Mustafa, 48, di Jalan Attar, Kampung Setanggi di sini, hari ini.
Ros Fariza berkata, kejadian pada jam 5 petang itu berlaku selepas kawasan terbabit mengalami hujan lebat hampir sejam.
Menurutnya, dia tidak menjangka ia mengundang banjir kilat hingga mengakibatkan pelbagai barangan elektrik dan perabot di rumahnya rosak.
Katanya, kejadian itu kali kedua dalam tempoh kurang setahun.
"Bezanya pada tahun lalu kejadian berlaku selepas hujan lebat selama beberapa hari namun pada kali ini hanya sejam hujan lebat, rumah diancam banjir kilat.
"Ketika kejadian saya di rumah bersama dua anak berusia enam dan 11 tahun manakala suami bekerja.
"Mujur anak kejutkan saya dan pada kali ini air banjir naik sehingga 0.5 meter.
"Saya terpaksa meminta suami pulang ke rumah bagi melakukan kerja pembersihan kerana saya mengalami masalah cakera tulang belakang teranjak atau slipped disc," katanya.
Sementara itu, penduduk, Mohd Farhan Akhtar, 56, berkata, kira-kira 20 keluarga terjejas dalam kejadian itu.
"Air naik naik secara mendadak dan ia juga cepat turun.
"Kerajaan negeri seharusnya melihat cara mengatasi permasalahan banjir kilat di sini yang bukan saja mengakibatkan penduduk menanggung kerugian setiap kali bencana berulang malah mengganggu keselesaan ramai.
"Kami tidak menolak kemungkinan masalah ini berpunca daripada masalah sistem saliran.
"Diharap tindakan sesuai dilakukan," katanya ketika dihubungi hari ini.
|