Pembinaan semula kehidupan burung Zaman Jurasik Baminornis zhenghensis dilihat dalam ilustrasi yang dikeluarkan pada 12 Februari 2025. - Foto REUTERS
BEIJING: Saintis menemui fosil burung sebesar burung puyuh di selatan China yang dipercayai hidup sekitar 150 juta tahun lalu, semasa zaman Jurasik.
Fosil itu dilapor memiliki ciri-ciri moden yang mengejutkan selain penemuan bersejarah itu mencabar pemahaman semasa mengenai evolusi burung.
Ia dinamakan Baminornis zhenghensis dan memiliki persamaan usia dengan fosil Archaeoptery yang ditemui di Jerman pada 1861, antara burung tertua diketahui.
Saiz Baminornis zhenghensis adalah sekitar 15 sentimeter (sm).
Ia memiliki anatomi yang lebih 'canggih' dan lebih mahir terbang berbanding Archaeoptery yang bersaiz burung gagak.
Lebih menarik, fosil itu kelihatan separuh burung dan separuh reptilia.
Berbeza dengan Archaeopteryx yang mempunyai ekor panjang dan kurus seperti dinosaur burung pemangsa atau raptor seperti Velociraptor.
Berbanding Baminornis zhenghensis, ia memiliki ekor pendek serupa dengan burung moden bercirikan aerodinamik penting yang membantu mengalihkan pusat graviti badan ke arah sayap semasa terbang.
Perbezaan anatomi antara Achaeopteryx dan Baminornis zhenghensis adalah lokasi di mana penemuan fosil berkenaan adalah sekitar 8,800 kilometer (km) antara satu sama lain.
Ia membuktikan berlaku evolusi berjuta tahun lamanya sebelum kemunculan spesies berkenaan. Menurut pakar paleontologi dari Akademi Sains China, Min Wang, penemuan baharu ini mencadangkan kemungkinan burung mengalami evolusi sekitar 164 hingga 172 tahun lalu, jauh lebih awal daripada yang dipercayai sebelum ini.
"Baminornis zhenghensis kelihatan seperti burung moden berbanding Archaeopteryz. Ini titik penting bagi evolusi biologi," katanya yang juga pengarang utama kajian yang diterbitkan dalam Nature.
Fosil Baminornis zhenghensis ditemui pada 2023 semasa kerja lapangan dilakukan di daerah Zhenghe dekat wilayah Fujian.
Berbanding Archaeopteryx, Baminornis zhenghensis yang ditemui tanpa tengkorak dipercayai mempunyai gigi selain ekor pendek dengan struktur tulang pygostyle yang terbentuk oleh tulang belakang yang bercantum di hujung kolum vertebra.
Ciri universal pada burung moden ini membolehkan ia terbang dengan lebih maju.
|