APMM menggagalkan cubaan menyeludup dadah. FOTO ihsan APMM
Pontian: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, menggagalkan cubaan menyeludup dadah ke negara jiran, 1.15 pagi semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan operasi penguatkuasaan mengesan bot fiber biru mencurigakan di 0.5 batu nautika barat laut muara Sungai Rambah di sini.
Beliau berkata, menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot fiber terbabit menuju ke perairan cetek dan kelihatan suspek melarikan diri ke dalam paya bakau meninggalkan bot fiber itu.
"Pemeriksaan lanjut menjumpai beg galas hitam yang mengandungi lima bungkusan dadah seberat lima kilogram disyaki syabu serta satu bungkusan pil seberat 1.2 kilogram disyaki pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM360,000," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
"Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.
|