MUHAMMAD Azam didakwa mencederakan anak tiri menggunakan rantai kunci basikal. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Tukang cat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan anak tiri lelaki menggunakan rantai kunci basikal hingga parah di kepala, Isnin lalu.
Muhammad Azam Ismail, 33, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia 16 tahun yang berada bawah jagaannya hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Jalan Haji Abdullah di sini, pada jam 12.30 tengah hari, 20 Januari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumahnya sebelum diminta oleh tertuduh untuk menghantar makanan ke rumah jiran.
Bagaimanapun, mangsa enggan menuruti arahan itu menyebabkan tertuduh naik angin lalu mengambil rantai kunci basikal lalu menghayun ke kepala mangsa.
Kejadian itu menyebabkan kepala mangsa berlumuran darah sebelum dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, untuk rawatan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu pihak pendakwaan membantah agar tertuduh dibenarkan ikat jamin kerana bimbang dia akan mengganggu mangsa, selain mereka berdua tinggal sebumbung.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 25 Februari ini bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
|