BOMBA membantu mangsa di lokasi. FOTO Ihsan Bomba
Kota Tinggi: Dua individu dilaporkan lemas, manakala empat lagi terselamat selepas mereka mandi di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai di sini, petang semalam.
Difahamkan, mangsa mempunyai pertalian keluarga, dengan dua yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Siti Fatimah Jaafar, 33 dan Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pada 5.30 petang semalam, Kaunter Aduan Balai Polis Bayu Damai menerima maklumat mengenai kejadian lemas di pantai berkenaan sebelum siasatan dijalankan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pada 5 petang semalam, lima bersaudara iaitu seorang wanita berusia 33 tahun, seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun, serta tiga kanak-kanak perempuan berusia antara 10 hingga 13 tahun ke kawasan pantai untuk mandi sebelum semua mereka dihanyutkan air laut.
"Menyedari situasi itu, seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga mempunyai pertalian persaudaraan dengan mereka cuba membantu, namun naik semula ke pantai disebabkan ombak yang kuat.
"Semua mangsa berjaya dibawa naik ke darat oleh pasukan penyelamat dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian, namun dua daripadanya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.
Menurut beliau, mayat dua mangsa itu kemudian dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini.
Katanya, kes diklasifikasikan di bawah laporan mati mengejut (SDR).
Disiarkan pada: Januari 22, 2025
|