Port Dickson: Pasangan kekasih ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian bayi cukup sifat.
Mereka sebelum itu ditahan semalam, selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson, memaklumkan menerima pesakit perempuan tempatan berusia 18 tahun yang melahirkan bayi, namun bayi gagal dikesan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, panggilan itu diterima pada 11.13 pagi semalam dan sepasukan anggota melakukan siasatan.
"Polis berjaya menemui bayi tersebut yang disembunyikan di dalam beg di sebuah bilik di rumah Taman Intan Perdana, Telok Kemang.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bayi perempuan itu cukup sifat, namun disahkan mati oleh pegawai perubatan.
"Terdapat juga kesan kecederaan pada dada bayi berkenaan, disyaki kesan objek tajam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Maslan berkata, susulan itu, pasukan Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson menahan wanita berkenaan dan lelaki tempatan berusia 21 tahun di Telok Kemang dan Port Dickson, antara 9.30 malam hingga 9.45 malam.
Katanya, suspek adalah pasangan kekasih dan polis turut merampas uri, pakaian, senjata dan telefon bimbit untuk siasatan lanjut.
"Motif kejadian disebabkan rasa bimbang dan takut dengan keluarga.
"Perintah tahanan reman mereka diperoleh hari ini sehingga 28 Januari yang dikeluarkan Majistret Hairun Najmi Mashahadi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Disiarkan pada: Januari 22, 2025
|